FIZO puas kongsi pengalaman dalam perniagaan dan bidang seni.
FIZO puas kongsi pengalaman dalam perniagaan dan bidang seni.
Oleh Farah Suhaidah Othman


Kutipan hampir RM800,000 yang dicatat filem Isyarat Cinta membuatkan pelakonnya, Fizo Omar, 30, terkilan.

Fizo berkata, dia tidak menyalahkan penonton tetapi terkilan kerana penerbitnya, Datuk Rosyam Nor sudah berbelanja besar untuk filem berkenaan.

“Mungkin kesedaran penonton dan kepercayaan mereka untuk melihat kualiti filem tempatan semakin berkurangan. Secara kebetulan, filem tempatan tahun ini terpaksa bersaing dengan filem antarabangsa yang memang dinantikan menyebabkan penonton tidak menonton filem Melayu,” katanya.

Fizo berkata, waktu tayangan Isyarat Cinta iaitu pada Mac lalu memang kena pada waktunya, namun penerimaan masyarakat terhadap filem Melayu agak teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Filem Melayu yang mencecah jumlah kutipan hampir RM1 juta boleh dikira dan ada juga kutipannya tak mencecah RM200,000. Ini sangat menyedihkan,” katanya.

Filem arahan Bade Haji Azmi itu turut mempertaruhkan gandingan mantap pelakon seperti Adi Putra dan Liyana Jasmay.

Fizo mengakui industri filem tempatan agak suram selain popularitinya semakin menurun akibat jarang berlakon slot drama tempatan, namun dia masih berkarya dan tiada istilah berhenti daripada dunia seni dalam hidupnya.

“Saya tidak akan berhenti selagi industri lakonan memerlukan khidmat saya. Buat masa ini, saya masih mengacara rancangan Nasi Lemak Kopi O di TV9, malah baru saja dilantik sebagai duta saluran berkenaan.

“Selain itu, saya masih menerima tawaran berlakon dalam telemovie, tetapi untuk berlakon dalam drama berepisod, mungkin saya tidak mampu memberi komitmen kerana tidak boleh bercuti terlalu lama meninggalkan perniagaan,” katanya yang kini aktif dalam bidang perniagaan.

Fizo berkata, dia lebih menemui kepuasan dalam bidang perniagaan berbanding lakonan kerana kerjayanya sebagai usahawan dapat mengubah kehidupan orang lain.

“Saya puas hati apabila orang lain dapat ubah kehidupan mereka dalam bidang perniagaan melalui ceramah yang saya hadiri.

“Apabila orang dapat manfaat menerusi pengalaman yang saya kongsikan sepanjang ceramah atau seminar, ia sudah cukup memberi kepuasan dalam kerjaya saya sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 10:29 AM