Ruhainies
Ruhainies
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies, ingin berdamai dengan Bella Astillah dan semua pihak yang terbabit serta meletakkan titik noktah kepada situasi membabitkan dirinya.

Ruhainies, 32, berkata, dia tidak mahu masalah ini menjadi lebih panjang dan rumit, sekali gus bersedia untuk bersemuka dengan Bella.

"Saya nak berdamai, terutamanya kepada Bella. Saya tak nak ada apa-apa sengketa dengan Bella, dengan siapa-siapa pun. Saya ingin meminta maaf secara terbuka dan kepada semua yang terbabit dalam isu ini.

"Saya juga bersedia untuk berjumpa dengan Bella, sama-sama selesaikan masalah ini. Saya tak nak bercerita untuk menegakkan benang yang basah walaupun ada cerita di sebaliknya.

"Saya perlu letakkan titik noktah. Saya nak teruskan kehidupan. Saya pun manusia biasa, tak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Saya benar-benar minta maaf, saya tak nak benda ini jadi panjang. Saya nak berdamai, nak bahagia. Saya nak semua orang pun bahagia juga," katanya menerusi temubual di program Melodi TV3.

Menurut Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, dia cuba menghubungi Bella untuk meleraikan permasalahan yang berlaku, namun gagal dihubungi.

"Isu ini bukan isu yang kecil dah. Ia dah dua bulan. Alasan kenapa baru sekarang saya nak tampil bukan sebab saya risau mengenai apa-apa. Saya memang berniat untuk tampil dah lama, tapi, saya menunggu masa yang sesuai.

"Isu ini terlalu panas. Saya tak mahu apa-apa kenyataan yang keluar dari mulut saya, dimanipulasikan dan disalahfahamkan. Semasa situasi itu berlaku, saya masih dalam keadaan terkejut. Kali pertama berlaku di dalam kehidupan saya, itu satu bintik hitam yang saya tak dapat nak lupakan sampai bila-bila. Saya trauma.

"Beberapa hari selepas itu, saya ada menghubungi Bella. Saya mesej dia, tapi tak sampai sebab ada satu 'tick'. Saya pun tak nak mendesak. Saya faham, situasi itu. Dia marah. Takkanlah saya nak terus paksa dia. Saya ada hubungi dia juga, tapi, tentulah dia tak nak jawab.

"Semua orang, masing-masing dalam keadaan beremosi. Termasuk juga saya. Apa-apa sahaja bukti yang saya ada sekalipun, saya takkan muat naik di mana-mana. Sebab, takkan ada pengakhiran.

"Saya memikirkan mengenai orang ada keluarga, orang ada anak. Banyak hati nak kena jaga. Saya tahu bagaimana rasanya apabila diaibkan. Saya memang takkan buat begitu," katanya.

Ruhainies juga menganggap situasi yang berlaku menjadi ujian dan pengajaran berharga buat kehidupannya sebagai manusia.

"Saya anggap ini ujian untuk saya. Pengajaran yang sangat-sangat mahal. Apa yang jadi ini, satu pengajaranlah untuk saya. Alasan kenapa saya senyap pun, sebab saya tak mahu panjangkan. Saya tak suka bergaduh dengan orang.

"Mungkin orang luar tak tahu betapa saya berusaha untuk betulkan keadaan. Semestinya, benda ini semua mengambil masa. Saya tak nak memaksa. Semasa saya di Mekah, saya banyak berdoa semoga semuanya jadi elok balik. Saya tahu, benda ini bunyinya mustahil. Tapi, itulah harapan saya," katanya.

Kontroversi rumah tangga penyanyi dan pelakon dari Singapura, Aliff Azizi dan Bella tercetus lagi selepas Aliff ditangkap khalwat dengan Ruhainies di sebuah kondominium mewah, di sini, awal Mac lalu.

Tidak tahan kerap menjadi mangsa curang dan mendakwa Aliff melakukannya sebanyak 11 kali, Bella memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 3:22 PM