ROSYAM, Bade dan pelakon Isyarat Cinta bersama Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin (kanan) pada majlis pelancaran trailer dan tayangan amal perdana kelmarin.
ROSYAM, Bade dan pelakon Isyarat Cinta bersama Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin (kanan) pada majlis pelancaran trailer dan tayangan amal perdana kelmarin.
ISYARAT Cinta menampilkan gandingan mantap Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar.
ISYARAT Cinta menampilkan gandingan mantap Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas filem Balistik terbitan sulung produksi RK Screen Sdn Bhd miliknya mendapat sambutan baik penonton, pelakon dan penerbit terkenal Datuk Rosyam Nor mempertaruhkan filem kedua pula.

Filem romantik Isyarat Cinta lakonan hebat Adi Putra, Liyana Jasmay dan Fizo Omar araham Bade Azmi itu akan menemui penonton mulai 19 Mac nanti.

Rosyam yang ditemui selepas majlis pelancaran trailer dan tayangan amal perdana filem Isyarat Cinta itu kelmarin berkata, beliau sangat mengharapkan karya terbaru Bade itu diterima baik penonton.

“Filem ini sebenarnya sudah ditayangkan secara eksklusif kepada wakil media dan syukur maklum balas diterima sangat positif.

“Justeru, jauh di sudut hati saya sangat mengharapkan penonton menyukai filem ini dan mereka sanggup datang menyaksikannya di pawagam nanti,” katanya.

Rosyam berkata, apa yang pasti produksinya sudah berusaha menghasilkan karya berkualiti untuk penonton dan ia sudah tentu boleh dinilai menerusi hasil kerja dalam penerbitan drama TV dan filem seperti Balistik.

Selesa berfikiran positif, Rosyam berkata, beliau enggan membuat filem yang hanya bagus pada penilaian media kerana paling diutamakan adalah penerimaan penonton.

“Apa yang boleh dikatakan saya sangat serius dalam pembikinan filem, jadi saya mengharapkan penonton suka dan puas hati dengan karya dihasilkan.

“Filem Isyarat Cinta ini sepatutnya ditayangkan pawagam tahun lalu. Namun, melihatkan keadaan kutipan tiket yang meruncing menyebabkan saya simpan seketika.

“Mujur Isyarat Cinta bukan filem bermusim dan ia sesuai ditayangkan pada bila-bila masa. Cuma, saya tidak boleh lagi menyimpannya lebih lama,” katanya.

Rosyam berkata, keyakinannya untuk filem Isyarat Cinta diterima baik penonton diperkuatkan selepas melihat kutipan dicatat filem tempatan seperti Villa Nabila dan Suamiku Encik Perfect 10!

“Kutipan memberangsang dicatat Villa Nabila dan Suamiku Encik Perfect 10! membuatkan saya yakin masih ada penonton yang berminat ke pawagam.

“Cuma, mereka (penonton) lebih bersikap memilih syarikat penerbitan, karyawan dan kualiti karya.

“Sebagai contoh, saya melihat Skop Productions Sdn Bhd yang cukup komited dalam menghasilkan karya filem berkualiti membuatkan penonton menyokong usaha mereka,” katanya.

Menurut Rosyam lagi, setakat ini boleh dikata filem terbitan Skop tidak pernah tak laku di pawagam dan sekurang-kurangnya pun akan balik modal.

Berharap penonton akan memilih jenama filem produksinya, Rosyam berkata RK Screen kini dalam proses menyiapkan tiga filem baru iaitu Rempit Ke Langit, Melayu Omputih dan Temujanji Dengan Allah.

Katanya, anggaran bajet bagi setiap filem itu sekitar RM1.5 juta.

Rosyam berkata, Rempit Ke Langit dan Melayu Omputih akan diarahkan Silver Yee, manakala Temujanji Dengan Allah pula sentuhan Bade.

Berbicara mengenai kerjasama dengan Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) untuk tayangan amal perdana Isyarat Cinta pada 4 Mac ini, Rosyam berkata, acara itu bagi mengumpul dana untuk mangsa banjir.

Beliau berkata, apa yang boleh dijanjikan, WHAM takkan malu untuk menganjurkan tayangan amal filem itu kerana penonton pasti terhibur kerana ia kisah romantik yang padat dengan mesej kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 11:28 AM