ORANG ramai menjamu selera di Restoran  Nasi Kandar Line Clear di Georgetown. FOTO Ramdzan Masiam
ORANG ramai menjamu selera di Restoran Nasi Kandar Line Clear di Georgetown. FOTO Ramdzan Masiam
Oleh Hadzlihady Hassan


Georgetown: "Semua yang berlaku ini adalah masalah keluarga dan sudah dibawa ke mahkamah. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) hanya mengambil tindakan berlandaskan undang-undang," kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengulas mengenai isu restoran nasi kandar Line Clear.

Menurutnya, apa yang berlaku sekarang pihaknya hanya menyerahkan segalanya kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan MPPP hanya melakukan kerja mereka selama ini.

"MPPP hanya melakukan tugas mereka dan sesiapa yang tidak mempunyai lesen maka tindakan akan diambil namun dalam kes ini lesen perniagaan yang diberikan kepada pemegang lesen nasi kandar Line Clear adalah kerana nama restoran itu sendiri yang menjadi ikonik kepada negeri ini.

Menurut Guan Eng, beliau berharap yang isu itu tidak dipolitikkan sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri ini kerana isu itu sebenarnya berpunca daripada masalah keluarga.

"Saya kesal kerana ada pihak yang cuba memutar belitkan fakta dan saya yakin penduduk negeri ini tahu cerita sebenar namun orang luar tidak mengetahuinya dan ini akan memberikan gambaran buruk kepada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media, hari ini.

Isu nasi kandar Line Clear tercetus apabila anggota penguatkuasa MPPP merampas kerusi dan meja premis itu kerana didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen bagi tahun 2015.

Bagaimanapun, pengendali premis itu berjaya memperoleh perintah mahkamah untuk menghalang MPPP dariipada terus mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis itu.

Peguam pengendali restoran itu, Md Yusuf Md Idris berkata, keputusan itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi selepas pihaknya membuat permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan penggiliran dan tindakan penguatkuasaan ke atas premis itu yang dibuat MPPP, 10 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 5:51 PM