SWATCH bersedia untuk gaya hidup di tepi pantai.
SWATCH bersedia untuk gaya hidup di tepi pantai.

Kuala Lumpur: The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd (Swatch) menjangkakan jualan koleksi jam tangannya akan meningkat satu digit tahun ini bersandarkan kepada pengenalan model baru pada harga berpatutan yang mampu mendapat permintaan pelanggan terutama golongan muda.

Jenama jam dari Switzerland itu juga dianggarkan mempunyai 20 peratus penguasaan pasaran di Malaysia dan antara tiga pasaran terbesar di rantau ASEAN bagi Swatch.

Jurucakap Swatch Malaysia berkata, model keluaran Swatch bukan saja mendapat permintaan tinggi daripada pengguna muda yang berpendapatan pertenggahan dan ke bawah, malah golongan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, pada tahun lalu, Swatch memperkenalkan jam automatik, Swatch Sistem51 dan pada hari pertama dilancarkan, sebanyak 150 unit dijual pada satu cawangan yang menunjukkan jenama itu mendapat permintaan pelanggan di negara ini.

“Kami sentiasa menawarkan model yang mempunyai cita rasa terkini dan mengekalkan kualiti kepada pengguna serta menawarkan tempoh jaminan sehingga dua tahun bagi membolehkan mereka mendapat produk terbaik.

“Memandangkan permintaan di Malaysia sentiasa berkembang, syarikat berhasrat menambah dua lagi cawangan baru masing-masing di Kuala Lumpur dan di wilayah utara pada tahun ini sebagai tambahan kepada 15 cawangan sedia ada,” katanya kepada Bisnes Metro pada pelancaran Koleksi Spring-Summer 2015, di sini, semalam.

Koleksi Spring-Summer 2015 menampilkan tujuh koleksi iaitu Red White & Blue, In The Playroom, Spring Breeze, Gran Turismo, My Pet&Me, Mediterranean Dolce Vita dan Surfing The Wave dengan menawarkan kira-kira 110 pilihan model pelbagai warna dan corak.

Koleksi Spring-Summer 2015 dijual pada harga bermula RM165 hingga RM685 seunit. Semua koleksi boleh didapati di semua cawangan Swatch di Malaysia kecuali Mediterranean Dolce Vita dan Surfing The Wave yang mula dilancarkan pada 23 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 8:12 AM