ONEUS terkenal dengan lagu-lagu pelbagai bahasa.
ONEUS terkenal dengan lagu-lagu pelbagai bahasa.
Georgie Joseph


KUMPULAN yang mengetengahkan konsep unik dengan rentak Latin, ONEUS bakal mengadakan konsert sulung mereka iaitu 2024 ONEUS 2ND WORLD TOUR 'La Dolce Vita' in Kuala Lumpur pada 4 Mei ini jam 6 petang di Zepp Kuala Lumpur.

Dianggotai Seoho, Leedo, Keonhee, Hwanwoong dan Xion, nama kumpulan dari Korea Selatan ini semakin mendapat perhatian seluruh dunia. Transisi karier seni mereka sejak ditubuhkan pada 2019 kian mekar dan rancak kelilingi dunia.

Album La Dolce Vita yang mereka tampilkan juga jelas sangat berjaya. Kelainan itu menjadikan ONEUS berada pada kelas tersendiri di mana muzik Latin menjadi taruhan penting.

Dalam satu temubual, Hwanwoong mengakui mereka sebenarnya agak was-was untuk mempertaruhkan genre itu. Bagaimanapun, mereka terdorong rasa ingin mencabar diri dengan konsep segar.

"Muzik Latin memiliki karakter tersendiri. Jadi, pada awalnya kami agak teragak-agak dan risau untuk mencuba genre ini. Akhirnya, kami dapat rentak kuasai cabaran baharu itu.

"Kami lakukannya dengan cara menukar corak nyanyian dan tona suara. Memandangkan kami melancarkan versi Sepanyol untuk lagu utamanya, kami pastikan bunyinya mengikut bahasa Sepanyol yang betul," katanya.

Kemaraan mereka meletakkan nama dalam peta hiburan dunia juga sukar digugat. Mereka berazam mahu terbang tinggi dan menakluk pendengar global, bukannya di Korea Selatan saja.

Angan-angan ONEUS kian tercapai apabila karya mereka banyak mendapat pujian. Justeru, mereka percaya banyak pencapaian serta impian diidam mampu digapai pada masa hadapan.

"Sebelum ini, apabila kami berkata teringin memasuki carta Billboard, saya rasa impian itu agak tidak realistik. Bagaimanapun, banyak hal sudah berubah kini dan saya sangat yakin dengan muzik kami.

"Mahu ke carta Billboard bukan lagi setakat angan-angan, tapi ia adalah matlamat besar kami. Saya harapkan kami juga akan dapat peluang beraksi di Super Bowl, sebuah acara terbesar dunia," kata Hwanwoong lagi.

Kumpulan ini secara rasminya memulakan kembara seni pada 2019 dengan bernaung di bawah agensi RBW. ONEUS memikat pendengar dengan lagu-lagu hit mereka termasuk Valkyrie, LIT, No Diggity, Same Scent, LUNA dan sebagainya.

Kekuatan mereka tentunya lagu-lagu dihasilkan adalah dalam pelbagai bahasa. Ia termasuk lagu dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris dan Sepanyol.

Setakat ini, ONEUS juga sudah mengadakan siri jelajah seluruh dunia ke kota besar di seluruh Jepun, Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 6:55 AM