KEINDAHAN dasar lautan ditonjolkan dengan cetakan berwarna warni di bahagian tali dan muka jam.
KEINDAHAN dasar lautan ditonjolkan dengan cetakan berwarna warni di bahagian tali dan muka jam.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Jenama jam tangan Swatch sememangnya tidak asing dalam kalangan anak muda. Apa tidaknya bukan saja sentiasa trendy, harganya juga dikategorikan sebagai mampu milik.

Terbaru, jenama antarabangsa dengan seni buatan Switzerland ini tampil dengan koleksi terbaru untuk musim bunga dan panas 2018 yang tampak segar dan tersendiri.

Sebanyak tiga jenis himpunan berlainan dihasilkan dalam koleksi ini dengan setiap himpunan mempunyai penampilan unik yang sesuai untuk pelbagai personaliti.

Setiap himpunan dikeluarkan secara berperingkat sepanjang musim bunga dan panas tahun ini dan menariknya ada antara koleksi menampilkan ciri kembali kepada asas dan futuristik.

Himpunan Brit-In adalah himpunan yang mempunyai karakter comel dan warna ceria bercirikan budaya British, malah rekaannya seolah-olah menggambarkan ‘fantasi’ perkelahan dan minum petang bersama ratu negara itu.

Swatch Vibe pula adalah himpunan yang menggunakan warna terang seperti merah dan kuning yang dipadankan dengan warna gelap seperti hitam dan biru tua menyerlahkan gaya blok warna.

Himpunan ini menyerlahkan gaya sukan dan warna warni jenama ini. Gaya atlet koleksi ini juga menyerlahkan sisi lasak pemakai dan penuh tenaga untuk memulakan hari.

Himpunan Mediterranean Views pula menyerlahkan rekaan segar dengan warna ceria yang sinonim dengan musim panas.

Ia turut mengangkat keindahan dasar lautan dan jelas ditunjukkan dengan cetakan berwarna warni di bahagian tali dan muka jam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 3:22 AM