AKMAL bersama koleksi jam tangan dan dinding jenama Swatch kesayangannya.
AKMAL bersama koleksi jam tangan dan dinding jenama Swatch kesayangannya.
JAM tangan Harimau  edisi terhad sempena Tahun Baru Cina.
JAM tangan Harimau edisi terhad sempena Tahun Baru Cina.
KOLEKSI jam tangan Swatch Edisi Kidrobot.
KOLEKSI jam tangan Swatch Edisi Kidrobot.
Redzuan Muharam


“Saya seronok kerana dapat memakai jam tangan berlainan warna dan jenis setiap hari daripada koleksi peribadi dikumpul sejak enam tahun lalu,” kata pengumpul jam tangan jenama Swatch, Akmal Laili, 29.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, setakat ini dia mempunyai lebih 90 koleksi jam tangan daripada jenama berkenaan.

Menurut Akmal, sebahagiannya dibeli menggunakan wang simpanan dan ada dihadiahkan oleh rakan baik serta keluarga terdekat.

“Saya memakai jam tangan sejak di sekolah rendah tapi mula jatuh cinta dengan jenama Swatch selepas menerima hadiah hari jadi daripada ayah ketika di tingkatan dua.

“Bukan saja istimewa disebabkan ia pemberian ayah tetapi kerana jam tangan berkenaan adalah edisi terhad sempena Tahun Baru Cina.

“Sejak itu, saya mengumpul wang bagi membeli jam tangan Swatch yang diidamkan lebih-lebih jika baru dikeluarkan di pasaran,” katanya yang kini mengusahakan restoran di Mersing, Johor.

Disebabkan obses dengan jam tangan Swatch, Akmal sanggup membeli aksesori itu ketika bercuti di luar negara atau secara dalam talian walaupun dengan harga agak mahal.

Bagi Akmal, tiada istilah membazir kerana semua jam tangan itu dipakai malah dia puas apabila dapat mengumpul semua koleksi yang diinginkan.

“Kebanyakan jam tangan kepunyaan saya dibeli di cawangan tempatan tetapi pernah juga membelinya secara dalam talian jika stok diingini tiada atau sudah habis.

“Selain itu, saya ada juga mengirim jam tangan itu daripada rakan dan keluarga pula memahami malah membelikan aksesori berkenaan jika mereka ke luar negara.

“Nampak macam terlalu obses tetapi disebabkan minat, saya sanggup malah sudah membelanjakan kira-kira RM20,000 bagi mengumpul koleksi berkenaan dengan paling mahal adalah jam dinding berharga RM600,” katanya.

Mengenai penjagaan, Akmal berkata, dia menyimpan semua koleksi berkenaan di dalam almari dan hanya mengeluarkannya sekali-sekala dari ruang simpanan untuk dibersihkan.

Menurut Akmal, ia dilakukan bagi memastikan jam tangan berkenaan kekal dalam keadaan baik dan bebas habuk.

“Setiap jam tangan itu istimewa kerana mempunyai nilai sentimental dan ada cerita tersendiri yang membuatkan saya lebih menghargainya.

“Kerana itu, saya agak berat hati untuk meminjamkannya kepada orang lain termasuk adik-beradik melainkan ia bukan koleksi edisi terhad.

“Malah, saya tidak terfikir untuk menjualnya kepada sesiapa buat masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:03 AM