London: Diafra Sakho menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada lewat permainan, sekali gus membantu West Ham terselamat daripada dikalahkan Bristol City pada pusingan keempat Piala FA, semalam.

Bristol yang beraksi di Liga Satu, mendominasi perlawanan dan dua cubaan Matt Smith hampir memberikan kelebihan buat mereka.

Bagaimanapun, West Ham tetap bertahan dan Sakho menanduk masuk hantaran lintang Andy Carroll ketika permainan berbaki sembilan minit untuk memastikan kemenangan pasukannya.

Satu lagi cubaan Sakho yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-56 sekadar terkena palang.

Bristol City melangkah ke saingan Piala FA dengan penuh kejutan apabila menang empat kali berturut-turut dan hanya tewas sekali sepanjang 12 pertemuan.

Mereka hanya melepaskan 22 gol sepanjang 25 perlawanan liga dan berkongsi pendahuluan dengan Swindon.

Skuad kendalian Steve Cotterill itu cukup yakin dan penguasaan Luke Freeman selain dibantu Smith kerap mencetuskan masalah buat Hammers.

Hammers yang menduduki tangga ketujuh Liga Perdana dan tidak tewas sejak awal tahun, bangkit melawan terutamanya selepas Sakho dan Morgan Amalfitano di bawa masuk.

Sakho mula mengancam sebaik dimasukkan, tetapi bola rembatannya sedikit melepasi palang.

Gol dihasilkannya berpunca daripada hantaran bijak Carroll yang memudahkan Sakho menanduk masuk untuk mengecewakan penjaga gol Frank Fielding.

Smith hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan apabila hantaran Jay Emmanuel-Thomas tepat di kakinya, tetapi rembatannya sedikit tersasar.

Pengurus West Ham Sam Allardyce berkata: “Saya tahu perlawanan ini pasti sukar dan Bristol City menunjukkan kepada kami mengapa mereka berhak menduduki persada Liga Satu.

“Sukar untuk kami bermain corak permainan biasa, mujur hantaran lintang Andy berjaya disudahkan Sakho.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 8:18 AM