London: Andy Carroll (gambar) menegaskan tiada apa yang boleh menyekat West Ham daripada memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Penyerang berusia 25 tahun itu menyumbat gol pertamanya musim ini kelmarin apabila dua golnya membantu Hammers menang 3-1 ke atas Swansea sekali gus melonjak ke tangga ketiga carta liga selama 24 jam.

Pasukan kendalian Sam Allardyce itu kekal di kelompok empat teratas selepas 15 perlawanan, selepas menang lapan daripadanya ketika Carroll menjaringkan dua gol sebelum Diafra Sakho menambah gol lewat untuk mengetepikan Swans, yang mendahului menerusi gol Wilfried Bony.

Di sebalik menerima pujian kerana pendekatan menyerang mereka, ramai menjangkakan West Ham akan merudum ketika jadual padat musim sejuk namun Carroll percaya mereka kini patut dianggap pencabar kejuaraan.

“Saya fikir tiada had, kami boleh terus menerus ke puncak,” kata pemain kebangsaan England itu apabila ditanya sejauh mana Hammers boleh pergi.

“Kami memiliki skuad hebat dan saya tidak boleh berkata kami akan berputus asa sekarang kerana kini kami di kelompok empat teratas, kami memiliki pasukan hebat dan boleh terus meningkat.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:45 AM