Melbourne: Venus Williams (gambar) menegaskan dirinya tidak berada pada tahap terbaik di Terbuka Australia sekadar mencukupkan senarai pemain selepas mara ke peringkat 16 terakhir di Melbourne Park dengan meletak sasaran menjuarai setiap kejohanan disertainya.

Pemain Amerika Syarikat berusia 34 tahun itu yang meraih tujuh gelaran utama dengan terakhirnya di Wimbledon pada 2008, tidak pernah mara ke minggu kedua Grand Slam sejak 2011, menyifatkan pengalaman ada pada dirinya tidak boleh dipandang mudah.

“Saya menang besar. Ia seperti sesuatu yang tidak pernah saya lakukan,” katanya selepas mencatat kemenangan getir 4-6, 7-6 (7/3), 6-1 menyingkirkan pemain Itali, Camila Giorgi.

“Bagi saya, saya mahu menang lebih banyak gelaran sama ada ia kejohanan kecil atau besar. Itu sebabnya saya bermain untuk mencapai sasaran itu.

“Ia hebat untuk berada pada minggu kedua apalagi layak ke Pusingan 16.”

Kemenangan itu membolehkan pilihan ke-18 dari Amerika Syarikat itu mencatat rekod 8-0 sepanjang 2015 termasuk memenangi kejuaraan persiapan pada Kejohanan Auckland Classic.

Venus berkata, dia terlalu gembira melayakkan diri sekali lagi pada kejohanan utama selepas berdepan masalah Sindrom Sjogren yang membuatnya cepat letih pada 2011 termasuk beberapa siri kecederaan.

“Ia satu perasan cukup fantastik terutamanya apabila berlaku sesuatu menarik dalam hidup anda yang berada di luar kawalan. Saya tidak mahu itu saja kerana saya mahu lebih daripada itu,” katanya jelas menikmati setiap detik menakjubkan di hadapan penonton yang menghargai perlawanan berkenaan.

Ranking pemain Amerika Syarikat itu akan meningkat ke tangga ke-12 selepas kejohanan berakhir dan kemungkinan naik lebih tinggi.

Venus akan bertemu pilihan keenam Agnieszka Radwanska dari Poland pada pusingan keempat yang menewaskannya dua kali pada dua pertemuan terakhir mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 7:45 AM