BUAT kali pertama sejak  1981 separuh akhir Terbuka AS menyaksikan pertembungan semua pemain AS, Sloane (kiri atas), Venus (kanan atas ), CoCo (kiri bawah) dan  Madison. -Foto AFP
BUAT kali pertama sejak 1981 separuh akhir Terbuka AS menyaksikan pertembungan semua pemain AS, Sloane (kiri atas), Venus (kanan atas ), CoCo (kiri bawah) dan Madison. -Foto AFP
AFP

NEW YORK: Buat kali pertama sejak 1981, aksi separuh akhir wanita Terbuka Amerika Syarikat menyaksikan pertembungan semua pemain AS diketuai juara tujuh Grand Slam, Venus Williams dan tiga pemain yang mengintai gelaran sulung Grand Slam.

Venus, yang memburu kejuaraan Terbuka AS ketiga selepas 2000 dan 2001, akan berdepan Sloane Stephens manakala pilihan ke-20, CoCo Vandeweghe dan pilihan ke-15 Madison Keys bertemu pada perlawanan pagi esok di Stadium Arthur Ashe, dengan pemenangnya bertarung merebut kejuaraan Ahad ini.

“Ia amat menakjubkan,” kata Madison sesudah melengkapkan kemenangan 6-3, 6-3 ke atas pemain Estonia, Kaia Kanepi pada suku akhir awal pagi tadi.

“Saya fikir ia pasti satu saat yang amat istimewa. Saya gembira dapat membantu dan memastikan nama saya berada di sana.”

Tidak kira siapa yang mara, ia akan mencetus final Terbuka AS antara pemain Amerika kali pertama sejak 2002, apabila Venus kalah kepada adiknya Serena.

“Ia dua minggu yang hebat buat tenis Amerika, melihat semua pemain Amerika dalam undian dan semuanya mara jauh serta bertindak dengan amat baik sekali,” kata Venus.

“Hebat melihat kebangkitan ini dan saya harap ia mampu berterusan.”

Venus, pilihan kesembilan yang menikmati satu daripada musim terbaiknya pada usia 37 tahun, mengetuai saingan.

Naib juara Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini adalah pemain paling tua layak ke separuh akhir Terbuka AS dan tertua dalam mana-mana acara Grand Slam sejak Martina Navratilova di Wimbledon pada 1994.

“Ia satu perasaan yang amat menyeronokkan kerana anda bekerja keras dan mampu berjaya ketika ini,” ujar Venus, yang boleh layak ke tiga final Grand Slam setahun buat kali pertama sejak 2002.

SEPARUH AKHIR TERBUKA AS

ESOK

(Pemain pilihan dalam kurungan)

CoCo Vandeweghe (USA x20) mln Madison Keys (USA x15)

Venus Williams (USA x9) mln Sloane Stephens (USA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 10:47 AM