Antwerp: Malaysia dan China mungkin dibezakan dengan 19 anak tangga tetapi jurulatih skuad negara Tai Beng Hai tetap mahu mengambil pendekatan berhati-hati ketika memulakan kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia esok.

Malaysia berada di ranking ke-12 manakala China, 31.

“Semua pasukan di sini membawa pemain terbaik mereka. Ranking tidak memberi sebarang makna kerana kejohanan ini penting untuk layak ke Olimpik.

“Jadi tentu semua pasukan akan memberikan yang terbaik tanpa mengira siapa lawan mereka,” kata Beng Hai.

Menjelang kejohanan ini, China pernah mengalahkan Perancis yang menduduki ranking ke-18 dalam aksi persahabatan dengan kemenangan 3-2.

Walaupun sekadar aksi persahabatan, keputusan perlawanan itu menunjukkan negara Tembok Besar itu serius dalam persiapan mereka.

Tambah membimbangkan Beng Hai, China kini mengamalkan corak permainan pantas yang boleh memberi ancaman kepada misi skuad negara memburu kemenangan pertama.

“Sejak dilatih jurulatih dari Korea Selatan, corak permainan mereka sudah berubah.

“Semua orang tahu macam mana Korea main dan itulah juga aksi China. Jelas, China dulu bukan yang sekarang. Mereka kini lebih seimbang di semua bahagian dan memiliki kelajuan.

“Jadi, kami harus menyerang dari awal permainan untuk menekan mereka,” katanya yang meletakkan sasaran mara ke separuh akhir dalam saingan di KHC Dragons ini.

Kejohanan Liga Hoki Dunia ini adalah kelayakan untuk Sukan Olimpik Rio 2016.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama-sama Belgium, Britain, China dan Ireland. Kumpulan A pula dianggotai Australia, India, Pakistan, Poland dan Perancis.

Tiga pasukan teratas layak secara automatic ke Rio de Janeiro di Brazil. Malaysia kali terakhir layak ke Olimpik pada 2000 Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:03 AM