LORI bawa muatan  balak terbalik. FOTOSyazwan Msar
LORI bawa muatan balak terbalik. FOTOSyazwan Msar
Oleh Syazwan Msar


Kuantan: Pemandu lori sarat muatan balak cedera selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berhampiran Bukit Rangin dekat sini, 1.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pemandu lori berusia 40 tahun itu dalam perjalanan dari Rompin menuju Kemaman, Terengganu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, rantai pengikat balak dipercayai terputus menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan balak bertaburan di tengah jalan.

"Pemandu yang belum dikenal pasti identiti itu cedera ringan dan dirawat di hospital swasta di bandar ini. Nahas itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 500 meter menghala Gebeng.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:53 PM