Kuala Lumpur: Semuanya berlangsung dengan sempurna. Itu kesimpulan dapat dibuat selepas pertemuan antara Pengarah Teknikal baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen dan barisan kejurulatihan negara ketika berlangsung Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia di Sarawak, minggu lalu.

Pertemuan itu diatur BAM dan tindakan itu menampakkan sesuatu yang positif walaupun Frost hanya memulakan tugas awal Mac.

Kesemua 10 jurulatih di bawah naungan BAM yang hadir pada pertemuan makan malam di sebuah restoran makanan laut di Kuching senang mengenai penjelasan disampaikan Frost, terutama berkaitan tugas dan tanggungjawab pakar badminton dari Denmark itu.

Antara perkara dibincangkan adalah mengenai isu kontrak jurulatih yang hanya diketahui sebaik saja Frost memulakan tugas secara sah.

Walaupun tidak dibincangkan secara terperinci, Frost memberi gambaran awal beliau tidak akan melakukan perubahan drastik cuma beberapa perkara kecil mengenai struktur kejurulatihan negara.

Penjelasan itu setidak-tidaknya melegakan jurulatih yang tamat kontrak Disember tahun lalu, selepas hanya diberikan lanjutan selama tiga bulan (Januari hingga Mac) sebelum Frost menentukan nasib mereka.

Pada masa sama, barisan kejurulatihan negara juga berjanji memberi kerjasama penuh kepada Frost dalam usaha meletakkan semula Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia.

Frost sudah tentu memahami apa yang dirasakan jurulatih sekarang dan bakal menggunakan segala pengalamannya sebagai pemain serta jurulatih.

Jurulatih yang menghadiri pertemuan itu adalah Rashid Sidek, Tey Seu Bock, Hendrawan, Wong Tat Meng, Pang Cheh Chang, Jeremy Gan, Tan Kim Her, Rosman Razak, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 6:52 AM