Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang wanita warga emas bukan saja kerugian RM2,000 apabila rantai lehernya dilarikan penjenayah bermotosikal tetapi turut menanggung kesakitan di leher akibat dipukul dalam kejadian di Kampung Tiong, Kampung Cina di sini, jam 10.30 pagi, Selasa lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 66 tahun berjalan berseorangan di kawasan berkenaan sebelum dihampiri sebuah motosikal dari belakang.

Menurut sumber, sebaik menghampiri mangsa, penjenayah memukul belakang leher mangsa menggunakan objek tumpul.

“Penjenayah kemudiannya merentap rantai leher emas dipakai mangsa sebelum memecut dari lokasi.

“Mangsa kemudiannya melaporkan kejadian di Balai Polis Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:44 PM