Majlis perkahwinan bermula hanya sebagai istiadat yang diwarisi sejak zaman berzaman, namun semakin lama ia seolah-olah mengalami perubahan mendadak dan berkembang menjadi satu perniagaan dan industri yang menguntungkan.

Perubahan itu menyaksikan pelbagai tawaran, kreativiti dan inovasi yang diilhamkan oleh perunding perkahwinan untuk bakal pengantin.

Seiring perkemba­ngan itu, pelbagai strategi dilakukan termasuk penganjuran pameran atau ekspo perkahwinan untuk mengimbangi persaingan yang cukup sengit itu.

Dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara yang tidak asing, Urban Vibe Event, Pameran Pengantin Malaysia 2015 edisi ke-45 diadakan di Ampang Point, Kuala Lumpur, baru-baru ini dengan mengumpulkan pengusaha butik pengantin daripada pelbagai peringkat di bawah satu bumbung.

Selain pameran dan jualan, pelbagai aktiviti diatur sepanjang pameran termasuk demonstrasi yang bermanfaat khususnya sebagai panduan untuk bakal pengantin.

Pengarah Urusan Urban Vibe Event Nadia Hassan berkata, pameran itu bertujuan membuka peluang kepada pengusaha butik pengantin, tidak kira sama ada daripada peringkat perancang perkahwinan, fotografi mahupun cenderahati bersatu dalam satu ruang pameran.

Pameran berkenaan adalah yang pertama untuk tahun ini dengan 30 tapak pameran disediakan untuk vendor yang terdiri daripada 21 syarikat.

“Selain keperluan sehenti pengantin, antara produk dan khidmat yang ada di ruang pameran termasuk dekorasi, fesyen dan cenderahati,”katanya.

Menurutnya, lokasi Pameran Pengantin seterusnya akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) selama tiga hari bermula 27 Februari hingga 1 Mac depan.

Untuk pameran itu, ­sebanyak 120 tapak pameran disediakan sekali gus menjadi pusat sehenti bagi bakal pengantin yang akan meraikan hari bahagia mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:23 AM