KEADAAN butik Dyg Normah di Ipoh yang sunyi tanpa kehadiran pelanggan. FOTO IHSAN DYG NORMAH
KEADAAN butik Dyg Normah di Ipoh yang sunyi tanpa kehadiran pelanggan. FOTO IHSAN DYG NORMAH
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Siapa yang tidak sedih apabila melihat perniagaan diusahakan sejak lebih 27 tahun lalu berdepan kemungkinan gulung tikar akibat penularan pandemik Covid-19.

Itulah hakikat yang terpaksa dilalui Dyg Normah Haishah Bakar, 50, apabila butik pengantin miliknya kini tinggal nyawa-nyawa ikan.

Katanya, wang simpanannya juga habis digunakan untuk menampung tiga butiknya yang di Ipoh, Kampung Gajah dan Teluk Intan di Perak walaupun tiada sebarang tempahan diterima.

"Kalau dulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu dengan pendapatan yang ada, saya mampu menggaji pekerja dan menjana pendapatan.

"Tetapi kini tidak lagi sebab pendapatan hampir tidak ada langsung kerana tiada majlis perkahwinan yang diadakan.

"Walaupun majlis pernikahan dibenarkan, tetapi tiada permintaan untuk perancang perkahwinan dan pakaian pengantin. Itu menjadikan kami tiada bisnes dan terpaksa gulung tikar," katanya.

Seorang lagi pengusaha butik, Nazeyra Fadzaauny, 34, berkata dia terpaksa memberhentikan 20 pekerjanya termasuk pekerja sambilan kerana tiada pendapatan sepanjang PKP.

Menurutnya, dia kini dibantu dua pekerja saja untuk perniagaan berasaskan makanan dan perunding perkahwinan.

Katanya, PKP menuntut usahawan sepertinya supaya berfikir lebih kreatif dan tidak hanya bergantung kepada perniagaan sama semata-mata.

"Saya masih lagi berniaga berkaitan perkahwinan, cuma lebih kepada perunding. Menerusi media sosial seperti Instagram dan Tik Tok, saya kongsi tips kepada bakal pengantin.

"Ia termasuk juga prosedur pejabat agama dalam urusan perkahwinan. Ramai yang tidak tahu dan keliru, jadi saya bantu.

"Selain itu, saya juga menyediakan pakaian pengantin pada harga murah berbanding sebelum ini. Semuanya untuk memastikan saya masih ada pendapatan dan perniagaan ini tidak ditutup," katanya yang mengusahakan butik pengantin di Puchong sejak 10 tahun lalu.

Terdahulu, Metro Ahad melaporkan 62,000 pekerja di dalam industri perkahwinan terkesan teruk disebabkan larangan mengadakan majlis perkahwinan.

Justeru, Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) merayu kerajaan tampil dengan inisiatif bagi menyelamatkan industri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 2:47 PM