WANITA hampir diserang sakit jantung selepas melihat seekor ular boa berada di atas mangkuk tandas bilik air kediamannya. FOTO Agensi
WANITA hampir diserang sakit jantung selepas melihat seekor ular boa berada di atas mangkuk tandas bilik air kediamannya. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Seorang wanita Rusia hampir diserang sakit jantung selepas melihat seekor ular boa melingkar keluar dari mangkuk tandas dalam bilik air di pangsapurinya.

Oddity Central melaporkan ular albino berwarna putih dan sudah dewasa itu didapati lari dari terarium (sangkar ular seperti akuarium) di kediaman tuannya sebelum memasuki lubang yang bersambung dengan tandas wanita berkenaan.

Rupa-rupanya ini bukan kes kali pertama ular boa berkenaan memasuki ruang kediaman kejiranan tuannya, tetapi rekod mendapati ia adalah kesalahan berulang.

Ular boa itu adalah pesalah berulang, dua tahun lalu haiwan itu melarikan diri dari terariumnya dan ditemui di tangga bangunan pangsapuri oleh jiran lain.

Dalam kes terbaru, wanita itu cepat-cepat menutup pintu bilik air apabila melihat ular itu melepak di atas mangkuk tandas dengan kepala terjulur keluar.

Dia segera menghubungi perkhidmatan kecemasan, sebelum seorang daripada penghuni bangunan pangsapuri mengaku pemilik ular berkenaan yang suka meneroka sistem saluran paip itu.

Menurut saluran SHOT Telegram, ular boa yang dalam jenis kelompok ular konstriktor itu mengambil kesempatan menyusup lari ketika tuannya sedang membersihkan terarium, kediaman reptilia berkenaan.

Reptilia yang bersikap ingin tahu itu dilaporkan berjaya memasuki sistem paip melalui longkang tab mandi dan masuk ke dalam mangkuk tandas wanita itu.

Apabila polis tiba, mereka mengambil beberapa gambar sebelum memanggil pakar ular untuk mengeluarkannya dari bilik mandi wanita itu.

Tidak jelas sama ada pemilik ular itu berdepan sebarang tindakan undang-undang memandangkan ia kejadian kedua berlaku dalam tempoh dua tahun, tetapi satu perkara yang pasti adalah ular boa bersifat penjelajah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 3:26 PM