Forensik bomba melakukan siasatan di rumah di Jalan Datuk Kumbar, hari ini. FOTO ihsan bomba
Forensik bomba melakukan siasatan di rumah di Jalan Datuk Kumbar, hari ini. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lima sekeluarga melecur selepas rumah di Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar, di sini terbakar hari ini.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi semua mangsa yang terperangkap di dalam rumah itu berjaya diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.48 pagi berhubung kejadian itu dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja tiba di lokasi jam 6.59 pagi.

Beliau berkata, operasi diketuai Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba Mohd Helmi Abu Husin itu turut membabitkan anggota dari BBP Alor Setar dengan keseluruhan anggota seramai 20 orang.

"Operasi turut dibantu dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Nyonya dan Taman Mutiara seramai 13 orang untuk memadam kebakaran.

"Setibanya di lokasi didapati rumah sedang terbakar dan tindakan dilakukan anggota kami menggunakan satu aliran dua pancutan air tangki jentera yang dibantu jentera PBS bagi mengawal kebakaran.

"Kebakaran membabitkan rumah kelas A dan 80 peratus kemusnahan dilaporkan malah sehingga jam 7.04 pagi ini operasi masih terkawal," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 10:07 AM