PEKERJA melihat keadaan motosikal yang rentung dalam kebakaran.
PEKERJA melihat keadaan motosikal yang rentung dalam kebakaran.
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lebih 20 motosikal milik pekerja sebuah kilang memproses makanan laut di Kampung Permatang Pinang, Kuala Kedah dekat sini, rentung apabila kilang berkenaan terbakar semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, pekerja kilang terbabit sedang sibuk melakukan tugasan masing-masing sebaik kilang itu beroperasi sejam sebelum itu.

Semua motosikal itu gagal diselamatkan kerana api marak dengan cepat manakala hampir 40 peratus bahagian depan premis juga musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.10 pagi sebelum empat jentera bersama 12 anggota dan pegawai termasuk dari BBP Alor Setar bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran.

“Jentera pertama tiba jam 10.26 pagi dan api berjaya dikawal 10 minit kemudian dengan bantuan 56 anggota daripada tujuh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.

“Tiada mangsa yang cedera kerana semua pekerja kilang dapat menyelamatkan diri. Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kilang terbabit yang enggan dikenali berkata, dia menyedari premis itu terbakar selepas terdengar jeritan dalam kalangan pekerja memaklumkan bilik rehat yang terletak di tingkat atas kilang sedang terbakar.

“Api dipercayai merebak ke stor penyimpanan diesel di tingkat bawah sebelum memusnahkan sebahagian besar kilang termasuk motosikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:20 AM