KOLEKSI RTW mudah disuai padan dengan skirt atau seluar.
KOLEKSI RTW mudah disuai padan dengan skirt atau seluar.
Siti Zarinah Sahib


Selain gandingan warna yang menarik dan cantik, keselesaan pastinya menjadi keutamaan wanita dalam membuat pilihan. Selesa bukan sekadar pada fabrik berkualiti serta meyakinkan, tetapi menjurus kepada potongan yang ‘kena’ dengan tubuh si pemakai.

Bagi menzahirkan keinginan wanita terutama berkerjaya yang ingin tampil hebat, namun kekal sopan dalam gaya tersendiri Meraki Atelier memperkenalkan koleksi sedia dipakai (RTW) Wanderlust yang mengetengahkan rona bumi sebagai pilihan.

Menurut Ketua Pereka Meraki Atelier, Azrina Abu Bakar, ketika ingin memperkenalkan padanan ini kepada wanita, dia membuat sedikit kajian mengenai rona kegemaran yang rata-rata mereka memilih warna asas hitam dan putih, kelabu, krim, merah jambu lembut dan kuning keemasan kerana ia boleh disesuaikan dengan apa juga perhiasan.

“Berdasarkan kaji selidik ini, saya cuba menghasilkan rekaan berasaskan warna-warna ini. Pada masa saya turut memperkenalkan warna lembut seperti biru, hijau, dan ungu bagi memberikan lebih pilihan kepada pelanggan,” katanya.

Menggunakan fabrik berkualiti seperti linen, broked, poliester, organza dan crepe sebagai asas, Meraki Atelier menyasarkan wanita muda sehingga pertengahan usia. Antara rekaan diketengahkan seperti gaun labuh, blaus, seluar dan skirt yang boleh disuai padan mengikut acara yang akan dihadiri. Pelanggan boleh memilih busana kesukaan mereka kemudian memadankan sama ada dengan skirt atau seluar.

Jenama yang diusahakan tiga adik-beradik ini iaitu Datin Norliza, Norazni dan Norazlin Razali ini mula dilancarkan pada April 2017 dengan menyediakan perkhidmatan tempahan kepada pelanggan. Sambutan pelanggan terhadap setiap helaian busana menyebabkan mereka mulai memperkenalkan koleksi RTW Julai lalu.

“RTW hanya dijual menerusi dalam talian saja kerana kami ingin memberikan tumpuan kepada pakaian tempahan termasuk busana perkahwinan di butik yang terletak di Sunway Nexis, Kota Damansara. Konsep rekaan RTW adalah berstruktur dan berlipat. Penggunaan organza dan premium crepe menjadi tema untuk rekaan Meraki kali ini,” katanya yang dalam perancangan membawakan jenama ini ke kota London. Sama ada di jual dalam salah satu butik di sana ia masih dalam perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 10:43 AM