POTONGAN beralun untuk menyerlahkan ilusi tubuh langsing dan tinggi.
POTONGAN beralun untuk menyerlahkan ilusi tubuh langsing dan tinggi.
Intan Mas Ayu Shahimi

Segar, moden, ringkas dan elegan. Mengambil inspirasi daripada rekaan klasik baju kurung Kedah dan busana tradisional Melayu dulu, Meraki Atelier mengolah rekaan koleksi kali ini mengikut interpretasi moden.

Tampil dengan mainan warna indah musim bunga, setiap helaian koleksi Meraki Lebaran 2018 terlihat cukup romantik dan feminin. Perincian mutiara di bahagian lengan dan baju menyerlahkan lagi penampilan pemakai.

Menurut pengasas jenamanya, Datin Norliza Razali, semua koleksi kali ini direka khusus olehnya bersama seorang lagi pereka, Huszainiey Hussain.

“Kami bawakan konsep potongan beralun untuk menyerlahkan ilusi tubuh langsing dan tinggi. Kemudian perhiasan ditambah secara eksklusif sebagai perincian utama untuk menampakkan gaya mewah pada tubuh pemakai,” katanya.

RONA pastel dan taburan mutiara serlahkan ciri romantik.
RONA pastel dan taburan mutiara serlahkan ciri romantik.

Jelas Norliza, beliau bukan sekadar mahu mereka busana mewah, tetapi praktikal dan mudah dipakai tidak kira sama ada untuk beraya, menghadiri majlis rasmi, memenuhi undangan perkahwinan atau apa saja acara ringkas yang memerlukan tetamu berpakaian sopan.

“Kami memberi fokus pada potongan rekaan seperti penindihan dalam lipatan, lisu dan pola. Bagi mereka yang mempunyai cita rasa tinggi dalam berfesyen, kami juga menyediakan pilihan busana dalam rona musim bunga yang terang seperti kuning, merah salmon dan jingga.

RONA musim bunga yang terang.
RONA musim bunga yang terang.

“Sementara fabrik dipilih mengikut kesesuaian cuaca tempatan dan fungsi busana itu sendiri yang mungkin digayakan di majlis yang ramai tetamu dan memerlukan pemakainya bergerak bebas. Justeru, kita pilih fabrik jenis shantung, satin dan broked.

“Untuk sentuhan mewah dan lebih menarik, kami juga menggabungkan fabrik organza, satin dan tulle dalam rekaan,” katanya yang turut tampil dengan koleksi rekaan kasual Meraki London atau Melon di pentas London Muslim Lifestyle Show 2018, April lalu.

BUSANA praktikal untuk wanita moden.
BUSANA praktikal untuk wanita moden.

Kata beliau, Melon direka mengikut perkembangan fesyen terkini, bukan saja untuk ketrampilan, tapi mengambil kira keselesaan memakai, dengan penggunaan fabrik bermutu tinggi.

“Fokus Melon adalah untuk menghasilkan pakaian sopan, sederhana yang moden serta berkualiti, khusus untuk wanita. Jadi, kami bawakan rekaan melambangkan feminisme moden dengan elemen anggun dan berstruktur menampilkan jati diri dan keanggunan,” katanya.

GAYA sopan busana Melon.
GAYA sopan busana Melon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 8:48 AM