RINGKAS penuh gaya.
RINGKAS penuh gaya.
Intan Mas Ayu Shahimi

Beri sedikit kelainan pada majlis raja sehari dengan pakaian pengantin potongan jumpsut. Tentu menarik, bukan? Lazimnya ‘baju mekanik’ ini disesuaikan dengan gaya kasual atau santai. Namun, Jubahsouq Atelier mempertaruhkan set berseluar ini sebagai busana pengantin moden romantis di pentas peragaan The Wedding KL 2018.

Kata pengasas jenamanya, Mohammad Zaki Muhammad Amin (Zack Amrul), dia sengaja menyelitkan elemen kejutan dalam koleksi busana pengantin berkenaan, sekali gus menampilkan kelainan dalam gaya fesyen Muslimah.

“Ini adalah koleksi kedua rekaan Jubahsouq Atelier yang didedikasikan khas untuk pentas The Wedding KL. Kami masih menggunakan perincian labuci dan taburan manik untuk menaikkan mood mewah pada setiap persalinan.

“Memandangkan koleksi kali ini bertemakan moden romantis, jadi kami pilih fabrik renda untuk menyeimbangkan gaya busana. Selain mengutamakan kekemasan dalam jahitan, kami juga banyak bermain dengan perincian bahu dan dada baju mengikut jenis rekaan,” katanya.

SEBAHAGIAN koleksi yang dipentaskan di The Wedding KL 2018.
SEBAHAGIAN koleksi yang dipentaskan di The Wedding KL 2018.

Menurut Mohammad Zaki, ketika menghasilkan koleksi berkenaan, dia dan sahabatnya, Amirudin Yatin banyak mengambil inspirasi daripada rekaan busana sedia ada di butik mereka.

“Kami bereksperimen dengan baju kebaya mini, busana labuh dan gaun. Kebanyakan idea kami suntik daripada rekaan koleksi RTW (siap pakai) Jubahsouq sendiri. Kemudian kami olah mengikut kesesuaian tema perkahwinan itu sendiri.

“Dari situ terbit idea untuk mengadakan busana potongan jumpsut. Persalinan ini direka khusus untuk mereka yang suka menonjolkan kelainan dan berani tampil unik pada hari perkahwinan,” katanya.

GAUN potongan jumpsut beri kelainan.
GAUN potongan jumpsut beri kelainan.

Mengetepikan pandangan sinis terhadap busana unik yang dihasilkan, Mohammad Zaki lebih senang menumpukan sepenuh fokus terhadap perincian untuk mengubah gaya jumpsut rekaannya supaya bersesuaian dengan tema raja sehari.

“Kami percaya kepada kreativiti dan kesesuaian busana dengan kehendak pemakai. Untuk menampakkan gaya jumpsut lebih manis semula jadi, kami banyak bermain dengan fabrik renda.

“Ada juga rekaan kami yang menampilkan ikatan reben besar untuk menonjolkan sisi feminin, romantis dan segar, sekali gus memberi kelainan kepada pemakai,” katanya.

SATU-satunya koleksi rona pastel yang diketengahkan di pentas The Wedding KL.
SATU-satunya koleksi rona pastel yang diketengahkan di pentas The Wedding KL.

Rona putih jadi pilihan

Membandingkan dengan koleksi busana terdahulu, persalinan pengantin yang diperagakan di pentas The Wedding KL baru-baru ini lebih seragam dari segi pemilihan warnanya.

“Memang kali ini kami memilih rona putih berbanding warna pastel tahun lalu. Walaupun tahun ini warna nampak sekata, perincian pada baju lebih sarat dengan butiran manik dan labuci mewah.

“Kami beri lebih tumpuan kepada pemilihan kain, jenis perincian, lipatan dan potongan untuk menyerlahkan lagi gaya pemakai. Antara fabrik digunakan termasuk satin, sifon, tulle dan renda.

“Kami juga selitkan siluet dalam rekaan seperti garis asas A, duyung, trumpet, empire dan sebagainya.

MINI kebaya sarat perincian dipadankan dengan kain potongan duyung.
MINI kebaya sarat perincian dipadankan dengan kain potongan duyung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 1:37 AM