REKAAN tidak terlalu menonjol tetapi masih serlahkan keanggunan.
REKAAN tidak terlalu menonjol tetapi masih serlahkan keanggunan.
Intan Mas Ayu Shahimi


Sebut saja nama Datin Amelia Hassan, tentu terbayang rekaan busana eksklusif sarat dengan perincian berat, batu berkilau, manik, labuci dan potongan renda. Semua ciri berkenaan terlalu sinonim dengan karya pemenang Anugerah Pereka Harapan BDA 2014 ini.

Rekaan Amelia selalunya glamor. Busananya bagaikan mempunyai kuasa magis yang sekelip mata mengubah penampilan pemakai. Jarang sekali Amelia bereksperimen dengan rekaan kasual, apatah lagi membawa busana ringkas ke pentas peragaan.

Bagaimanapun, kali ini Amelia keluar dari zon selesa menerusi rekaan busana Muslimah moden yang ringkas, elegan dan menawan. Nampak jelas wanita ini nekad mencabar diri dengan mengetepikan elemen sarat yang sebati dalam setiap karyanya.

Bermain dengan fabrik jacquard dan organza, Amelia seolah-olah cuba lari jauh daripada konsep busana polos yang disuntik dengan kemilau manik, labuci, kristal, batu akik dan perak.

Wanita ini memilih latar warna bumi dan pastel supaya tidak dilihat terlalu ghairah, sebaliknya memenuhi konsep Muslimah sederhana dalam semua 12 rekaan gaun dan jumpsuit eksklusifnya.

“Apabila diminta menghasilkan koleksi elegan Muslimah, saya terpaksa memikirkan rekaan paling sesuai dengan imej Islam, tidak terlalu menonjol, tetapi masih menyerlahkan keanggunan pemakai.

“Jadi, sesuai dengan gaya fesyen semasa, saya memilih menghasilkan busana polos yang diberi perincian fabrik organza, khususnya di bahagian bahu, dada, lengan, pinggul dan belakang tubuh.

“Padanan fabrik ini bukan saja berfungsi menyerlahkan potongan busana, tetapi bertujuan menyembunyikan susuk tubuh wanita. Kemudian bahagian leher busana ditinggikan bagi membolehkan pemakai mengenakan tudung bersesuaian, sementara ditambah zip pada bahagian lengan,” katanya.

Ujar Amelia, dia amat berpuas hati dengan apa yang dihasilkan, apatah lagi koleksi berkenaan mendapat tempat di hati ramai pengikut fesyen Muslimah tempatan dan luar negara.

“Saya cuba mengetengahkan rekaan busana Muslimah terbaik dengan struktur, potongan, kemasan dan lipatan dwifungsi, sekali gus menonjolkan kelainan pada jenama AmeliaHassan.

“Koleksi ini juga mencabar kemampuan saya dalam bereksperimen dengan potongan kimono, peplum, susunan kipas, ropol, motif dan aksesori supaya seimbang, nampak elegan serta versatil kepada si pemakai,” katanya.

Tidak dibuat untuk koleksi sedia dipakai, koleksi busana AmeliaHassan ini boleh ditempah di butik miliknya di 7-3, Jalan PJU 8/5H, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 5:58 AM