Windsor akan umum hujung minggu ini. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Windsor akan umum hujung minggu ini. FOTO HM/OSMAN ADNAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) masih dalam proses rundingan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Korea Utara (PRKFA) bagi memutuskan gelanggang untuk perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul yang dihubungi hari ini berkata pihaknya masih lagi berbincang dengan kedua-dua badan induk bola sepak itu dan kata sepakat mengenainya akan diketahui hujung minggu ini.

"Kami akan mengumumkan sesuatu pada pada hujung minggu ini dan pada masa ini perbincangan masih berterusan bagi mencapai kata sepakat," katanya.

Sementara itu, Windsor enggan mengulas ketika ditanya mengenai kedudukan Korea Utara yang akan menjadi tuan rumah perlawanan terbabit di saat mereka mempunyai hubungan buruk dengan Amerika Syarikat yang mungkin mengakibatkan campur tangan ketenteraan.

"Saya tiada komen mengenai perkara itu," katanya.

Sebelum ini Korea Utara diberi tempoh sebulan bermula 15 Mac lalu oleh AFC untuk mencadangkan satu gelanggang berkecuali bagi perlawanan itu.

Skuad Malaysia yang sebelum ini dilatih Datuk Ong Kim Swee, dijadualkan menentang Korea Utara dalam perlawanan Kumpulan B kelayakan Piala Asia di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun, ketegangan politik berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu menyebabkan kerajaan Malaysia melarang skuad itu daripada beraksi di sana atas faktor keselamatan.

Berikutan itu, FAM mengemukakan permohonan kepada AFC pada 13 Mac lalu untuk mengadakan perlawanan di gelanggang berkecuali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 5:39 PM