STADIUM Hong Kong venue  terdekat bagi Korea Utara.
STADIUM Hong Kong venue terdekat bagi Korea Utara.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul mengakui Hong Kong turut berada dalam senarai perbincangan untuk menentukan gelanggang berkecuali bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan Malaysia yang sepatutnya berlangsung di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang penghujung bulan ini.

Selain Hong Kong, Windsor memaklumkan beberapa negara lain turut dipertimbangkan dengan Beijing dan Bangkok difahamkan bakal dijadikan gelanggang berkecuali selepas pihaknya menerima permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang enggan beraksi di Pyongyang atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan berkenaan kepada Jawatankuasa Pertandingan AFC yang dijangka menamakan lokasi baru itu hari ini.

“Hong Kong juga ada dalam pertimbangan kita untuk melangsungkan perlawanan itu pada 28 Mac ini. Memang benar kelebihan gelanggang berkecuali biasanya akan dipilih berdasarkan faktor dekat dan kemudahan logistik bagi pasukan tuan rumah.

“Dalam kes ini, Hong Kong dilihat begitu hampir dengan Korea Utara selain kelengkapan dan kemudahan stadium yang cukup baik bagi diadakan aksi itu.

“Namun gelanggang lain juga dilihat berpotensi. Walau apapun, tunggu sehingga esok (hari ini) kerana Jawatankuasa Pertandingan yang akan umumkan venue baru berkenaan selepas mendapat persetujuan PRKFA (Persatuan Bolasepak Korea Utara),” katanya kepada Arena Metro.

Semalam, menerusi laporan akhbar ini, bekas Setiausaha Agung AFC Datuk Peter Velappan membayangkan badan induk bola sepak Asia itu kemungkinan bakal memilih Hong Kong sebagai gelanggang berkecuali membabitkan pertemuan Korea Utara dan Malaysia.

Berdasarkan pengalaman Velappan selama 29 tahun di AFC, beliau merasakan dua gelanggang - Stadium Hong Kong dan Stadium Mong Kok - amat sesuai bagi menggantikan Stadium Kim Il-sung, Pyongyang susulan ancaman keselamatan selepas Republik itu bertindak menghalang 11 rakyat Malaysia keluar dari negara berkenaan.

Ia berikutan hubungan diplomatik yang tegang sejak kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) bulan lalu dan kerajaan melarang skuad Harimau Malaysia bermain di negara itu atas faktor keselamatan.

Begitupun, permohonan gelanggang berkecuali bukan perkara baru bagi pasukan negara apabila sebelum ini pernah beraksi di Jordan menentang Palestin pada Pusingan Kelayakan Kumpulan A Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 November 2015 lalu.

Tindakan pertukaran venue itu disebabkan isu keselamatan yang tidak menentu di Tebing Barat dan aksi yang dilangsungkan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan menyaksikan Malaysia dibelasah Palestin 0-6.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 8:30 AM