NURHIDAYAH menunjukkan keputusan cemerlang 11A dalam SPM 2023. FOTO Ihsan Nurhidayah
NURHIDAYAH menunjukkan keputusan cemerlang 11A dalam SPM 2023. FOTO Ihsan Nurhidayah
Mary Victoria Dass


Iskandar Puteri: "Hari ini saya bersyukur menerima keputusan 11A dan mahu menghadiahkan ia kepada arwah ibu dan keluarga," kata Pelajar Sekolah Maahad Pontian, Nurhidayah Murad, 18.

Kehilangan ibu kesayangan lima tahun lalu akibat kanser menjadi penguat diri buat gadis ini meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nurhidayah berkata ibunya, Halilah Abd Kadir hanya sempat berjuang melawan kanser usus selama setahun sebelum kembali kepada pencipta pada usia 53 tahun.

Menurutnya, bagaimanapun dalam tempoh melawan penyakit itu, ibunya yang berstatus ibu tunggal tidak pernah ketinggalan bagi memberi semangat kepada mereka adik beradik supaya menjadi insan berilmu.

"Ketika itu kedua-dua abang saya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) manakala saya pula di Darjah 6, ibu kerap menasihati kami untuk belajar bersungguh-sungguh serta menyatakan kekecewaannya kerana tidak berpeluang menimba ilmu ke peringkat tinggi.

"Ibu meninggal dunia pada 3 Mac 2019 namun saya tetap berpegang kepada nasihatnya hingga membolehkan saya bangkit selepas ketiadaannya," katanya ketika dihubungi, hari ini. Nurhidayah kini menetap bersama abang sulung, Muhammad Taufiq Akmal, 27, yang bergelar guru di Lima Kedai, Gelang Patah di sini. Abang keduanya, Muhammad Luqmanul Hakim, 25, pula sudah berumah tangga dan bekerja di sebuah gudang.

Untuk keputusan SPM 2023, Nurhidayah memperoleh keputusan 4A+, 6 A dan satu A-.

Nurhidayah berkata, dia bersyukur kerana insan di sekelilingnya termasuk abang, kakak ipar, rakan dan guru sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaannya.

"Saya tidak mempunyai formula khas untuk belajar namun saya sentiasa yakin, rajin mengulang kaji pelajaran serta memenuhi masa saya dengan aktiviti bermanfaat selain tidak tinggal untuk bersolat serta sentiasa berbuat baik dengan semua orang.

"Saya memasang impian untuk bergelar warga pendidik kerana ingin memberi semangat kepada pelajar seperti saya untuk cemerlang dalam akademik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 12:00 AM