TANGKAP layar rakaman video di lokasi kemalangan. FOTO video tular
TANGKAP layar rakaman video di lokasi kemalangan. FOTO video tular
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lima kenderaan yang parkir di sebuah kawasan kondominium di Alam Damai, Cheras di sini, rosak selepas dirempuh sebuah bas yang terbabas dalam kejadian pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam, lima kenderaan terbabit kemalangan adalah dua Perodua Myvi dan masing-masing sebuah Perodua Viva, Toyota Vios serta Honda HRV.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Superintendan Suffian Abdullah berkata, polis menerima laporan kejadian 11.55 malam.

"Hasil siasatan mendapati bas dipandu lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke lokasi penginapan penumpang di kondominium berhampiran.

"Semasa menuruni susur berhampiran lokasi kejadian, bas dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang parkir," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Suffian berkata, seramai 31 penumpang terdiri daripada 11 lelaki dan 20 wanita berada di dalam bas tidak mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, katanya, kemalangan mengakibatkan kabel elektrik terputus dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

"Ujian kandungan alkohol dan saringan air kencing dilakukan terhadap pemandu bas namun didapati negatif keduanya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 12:56 AM