Jakarta: Lebih 40 peratus daripada anggota Parlimen Indonesia kini mempunyai rekod buruk, kata sebuah pertubuhan pemantau hak asasi manusia kelmarin.

Kenyataan Komisi Untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KONTRAS) menyatakan 242 ahli parlimen dari sembilan parti pernah atau masih terbabit dalam pelbagai salah laku.

Pegawai KONTRAS, Farah Fathurrahmi berkata antara salah laku itu ialah pelanggaran hak asasi manusia, sabitan jenayah dan mempunyai rekod kehadiran buruk di parlimen.

Secara pecahan, KONTRAS berkata, ada 57 ahli parlimen dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) disenaraikan dalam pemantauan itu, manakala 44 dari Golkar, 37 Parti Demokrat, 24 Gerindra, 20 Parti Persatuan Pembangunan (PPP), 16 Parti Keadilan Sejahtera (PKS), 11 Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan 9 Nasionalis Demokrat (NasDem)

Parti Hanura yang mempunyai 16 kerusi di parlimen tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.

Berdasarkan jumlah diberi KONTRAS itu, ia bermakna sekurang-kurangnya 52 peratus wakil rakyat PDI-P memiliki latar belakang bermasalah, 48 peratus untuk Golkar, 61 peratus Parti Demokrat, 33 peratus Gerindra lawmakers, 51 peratus PPP, 40 peratus PKS, 23 peratus PKB dan suku daripada NasDem.

Kata Farah, lima ahli parlimen dinamakan dalam lebih daripada satu kes salah laku, 16 dinamakan sebagai suspek rasuah, manakala 63 disiasat oleh agensi antirasuah Indonesia.

"Beberapa tokoh itu terbabit dalam pelanggaran hak asasi manusia, seperti kes membabitkan isu kebebasan bersuara atau mengganggu wartawan.

"Seramai 19 ahli parlimen terbabit dalam kesalahan jenayah, seperti menyerang, memukul, mengugut dan menipu, manakala 38 lagi dinamakan dalam kes pelanggaran peraturan pilihan raya.

"Enam belas lagi dihukum oleh Suruhanjaya Etika Parlimen dan 52 tersenarai sebagai wakil rakyat yang sangat jarang hadir ketika parlimen bersidang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:41 AM