Jakarta: Pelaku rasuah biasanya berselindung di sebalik bahasa rahsia ketika memberi atau menerima suapan bagi mengelak ia disedari pihak tidak berkenaan.

Amalan itu digunakan ketika mereka cuba memberi rasuah kepada anggota Komisi Pembanterasan Rasuah (KPK) yang menyiasat seseorang suspek.

Penyelaras Indonesia Corruption Watch, Ade Irawan, semalam mendedahkan sebahagian daripada kod digunakan suspek rasuah untuk melepaskan diri. Antaranya ialah:

* Kacang pukul (Kacang tumbuk)

Gabenor Riau yang disiasat kerana salah guna kuasa, Annas Maamun menggunakan orang perantaraan untuk merujuk kepada habuan rasuah. Pada 23 September Annas diberitahu bahawa “kacang pukul” untuknya sudah disediakan dan akan dihantar segera.

Kacang pukul ialah makanan ringan dari kacang dan gula yang ditumbuk dan terkenal di daerah Rokan Hilir, Riau. Annas pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Rokan Hilir.

* Ustaz, pesantren dan kiai

Pegawai kanan parti Golkar, Fahd A Rafiq sering berhubung dengan rakan subahatnya, Dendy Prasetya, menggunakan istilah “ustaz” dan “pesantren.” Misalnya, Fahd akan bertanya: “Adakah lot untuk kiai sudah disediakan?”

Istilah itu merujuk kepada penerima rasuah dalam skandal pembekalan naskhah al-Quran di Indonesia.

Katanya, “kiai” bermaksud ahli politik di parlimen, “ustaz” pula simbol pegawai di Kementerian Agama, manakala “pesantren” dikhaskan kepada parti politik.

* Ubat

Ketika rumah Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Bangkalan di Madura, Fuad Amin Imron diserbu KPK, dia cuba melunakkan pihak berkuasa dengan menawarkan “ubat.”

Ketika penyiasat KPK menemui longgokan wang di rumahnya sebagai bukti, Fuad bertanya: “Encik, masalah ini ada ubatnya atau tidak?”

Namun kata-kata itu dibalas penyiasat dengan selamba: “Jika KPK memang tidak ada ubatnya.”

Turut digunakan sebagai kod pelaku rasuah ialah “ekor,” “epal Malang,” “epal Washington” dan “salak Bali.”

Kata sumber, istilah epal itu digunakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Demokrat, Angelina Sondakh ketika berkomunikasi dengan sebuah syarikat.

Dalam perbualan melalui mesej Angelina menuntut “epal Malang” bermaksud rupiah dan “epal Washington” (dolar Amerika Syarikat).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:04 AM