PASUKAN Bomba dan Penyelamat bersama pekerja ladang ketika operasi mencari mangsa banjir lumpur pada 3 April lalu. FOTO ihsan Bomba
PASUKAN Bomba dan Penyelamat bersama pekerja ladang ketika operasi mencari mangsa banjir lumpur pada 3 April lalu. FOTO ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Wanita yang sebelum ini terselamat dalam kejadian banjir lumpur di Tongod, dekat sini, 1 April lalu, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, 5 pagi semalam.

Mangsa, Zaleha Mandayan, 40, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat ketika dihubungi berkata, mangsa sebelum ini dirawat di hospital berkenaan.

Pada kejadian 1 pagi Sabtu lalu, 11 sekeluarga dihanyutkan banjir lumpur apabila rumah dihuni di Ladang Sen Fu, Tongod, dekat sini, dilanda tanah runtuh.

Sebelum ini, Zaleha dan suaminya Abdul Kamalayan, 50, bersama anak lelaki mereka, Joshnam, 18, ditemui selamat di Sungai Penangah.

Enam lagi anak dan cucu wanita itu ditemui meninggal dunia, manakala dua lagi masih hilang.

Dengan perkembangan terbaru ini, seramai tujuh mangsa termasuk Zaleha meninggal dunia akibat kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bagaimanapun sudah dihentikan pada Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 7:03 PM