Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penamatan kontrak penganjuran saingan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula bulan depan membolehkan Malaysia dapat memberi fokus lebih baik untuk melahirkan pemandu ‘single seater’ pada masa depan.

Melihat keputusan kerajaan itu dari sudut positif, pemandu berbakat negara yang kini paling menghampiri impian beraksi dalam saingan F1, Muhammad Nabil Jeffri (gambar) berkata, fokus itu lebih baik berbanding terpaksa menanggung kos cukup tinggi untuk menganjurkan F1 di SIC.

“Secara peribadi sudah tentu saya juga berasa sedih sebab F1 sudah tiada lagi di Malaysia.

“Tapi yang paling penting sekarang, saya atau pemandu lain perlu berusaha untuk mendapatkan tempat beraksi dalam F1.

“Sebab jika perlumbaan itu kembali berlangsung di Malaysia tapi tiada tarikan pemandu tempatan tak guna juga.

“Jadi lebih baik untuk bajet yang ada itu digunakan bagi tujuan pembangunan pemandu. Baik untuk saya atau mana-mana pemandu tempatan lain,” katanya.

Menyimpan impian seperti peminat jentera empat roda lain, Nabil juga berharap saingan F1 akan kembali dianjurkan di Malaysia pada masa depan.

Pemandu berusia 23 tahun itu kini beraksi di saingan Siri GP2 bersama pasukan Trident.

GP2 adalah perlumbaan sokongan bagi saingan F1 dan sudah terbukti melahirkan pemandu berbakat beraksi di pentas paling berprestij itu.

Antara yang pernah beraksi juara dunia F1 terbaru Nico Rosberg serta bekas rakan sepasukannya di Mercedes AMG PETRONAS Motorsport Lewis Hamilton yang juga juara dunia tiga kali.

Beberapa nama besar lain yang sedang beraksi di saingan F1 ketika ini ialah Sergio Perez, Daniel Ricciardo serta Valtteri Bottas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi kenyataan kelmarin berkata, kabinet bersetuju menamatkan kontrak penganjuran F1 bermula tahun depan kerana pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding dengan kos penganjuran kejohanan itu.

Keputusan itu bermakna SIC akan menganjurkan perlumbaan berprestij itu buat kali terakhir pada 29 September sehingga 1 Oktober selepas tidak pernah ketinggalan menganjurkannya sejak 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 3:22 AM