RAZLAN (kiri) ketika melancarkan perlumbaan F1 GP Sepang bulan lalu.
RAZLAN (kiri) ketika melancarkan perlumbaan F1 GP Sepang bulan lalu.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kehadiran semula saingan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam kalendar awal Oktober depan serta penganjuran Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) selang beberapa minggu selepas itu bakal memberi pengalaman cukup mencabar kepada SIC.

Sebelum ini, kedua-dua saingan paling berprestij itu kebiasaannya berlangsung dalam jarak jauh iaitu F1 pada awal tahun manakala MotoGP, penghujung musim.

Namun dengan permintaan SIC untuk menganjurkan F1 pada hujung musim iaitu kemuncak perebutan kejuaraan dunia antara pemandu, Oktober bakal menjadi bulan cukup sibuk buat SIC.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali bagaimanapun berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menganjurkan perlumbaan F1 yang dijadual berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober.

“Tahun ini sangat mencabar dan memberi tekanan kepada kami kerana dua perlumbaan terbesar akan berlangsung secara berturut-turut.

“Untuk F1, kami perlu memastikan segala pembaharuan seperti tempat hospitaliti pasukan dapat digunakan dengan baik.

“Tambahan pula kali ini kita mempunyai empat perlumbaan sokongan dan itu satu lagi cabaran untuk menguruskannya,” katanya.

Jelas Razlan, dengan kejayaan penyambungan semula kontrak F1 selama tiga tahun bermula tahun ini, menjadi tanggungjawab SIC untuk memastikan perlumbaan dianjurkan sejak 1999 itu berlangsung baik.

“Apabila penyambungan kontrak itu hanya tiga tahun iaitu satu jangka masa pendek. Kami perlu pastikan setiap penganjuran dapat dianjurkan dengan sebaik-baiknya.

“Kami perlu pastikan sasaran pihak kerajaan untuk F1 menarik minat peningkatan kehadiran pelancong luar tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:19 AM