Wan Abdul Hakim rentung selepas kereta dipandu terbakar di KM 90, Jalan Jerangau-Jabor, pagi tadi. FOTO Rosli Ilham
Wan Abdul Hakim rentung selepas kereta dipandu terbakar di KM 90, Jalan Jerangau-Jabor, pagi tadi. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Pemuda rentung selepas kereta dipandu terbakar dalam kejadian di KM 90, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Ladang Gajah Mati, Bandar Al Mukhtafi Billah Shah (AMBS) dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Wan Abdul Hakim Wan Ahmad, 24, beralamat di Taman Indah, AMBS, meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, kebakaran berlaku selepas kereta jenis Perodua Kelisa dipandu mangsa terbabas sebelum bertembung lori tanah.

Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu gagal menyelamatkan diri manakala orang ramai yang berada berhampiran juga tidak dapat berbuat apa-apa berikutan api marak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang berkata, sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian apabila mendapat maklumat mengenai kes itu dan terpaksa menggunakan jentera pengorek untuk mengeluarkan kereta mangsa yang tersepit di bawah lori.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan 15 minit selepas itu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 12:58 PM