PELAKON handalan ini aktif berniaga.
PELAKON handalan ini aktif berniaga.
Oleh Norhayati Nordin


Meskipun pernah merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Antara Garisan lakonannya di Anugerah Skrin 2010 (ASK2010), kini nama Noorkhiriah seakan menyepi.

Pemilik nama sebenar Noorkhiriah Ahmad Shapie, 39, ini dilihat seakan mengurangkan akttiviti lakonannya.

Mengakui cintanya pada lakonan tidak pernah pudar, Noorkhiriah berkata, dia kini memberi tumpuan kepada gerai menjual tudung dan busana muslimah miliknya.

"Saya sebenarnya sudah hampir lima bulan berniaga tudung dan busana muslimah seperti jubah dengan membuka gerai jualan kecil-kecilan.

"Mana saja ada program jualan dianjurkan, saya pasti mencari ruang untuk menyertainya kerana minat untuk berniaga yang cukup menenangkan jiwa," katanya kepada RAP.

Memaklumkan masa bersama suami dan dua cahaya matanya, Muhamad Hudhaifah Azfaizul, 6, dan Muhamad Yusoof Azfaizul, 4, lebih teratur, Noorkhiriah berkata, pada mulanya dia berniaga sekadar suka-suka.

"Saya terbuka hati untuk cuba berniaga selepas melihat beberapa rakan seperti Azza (Elite) dan Yatt Hamzah sering memuat naik gambar pakaian dan tudung dalam Instagram mereka.

"Jadi, selepas mendapatkan pandangan daripada kedua-duanya saya nekad mencuba dengan hanya menjual 16 helai tudung di gerai jualan yang dibuka.

"Memang saya tak sangka, percubaan dilakukan itu menjadi dan produk dijual mendapat sambutan baik daripada pelanggan," katanya.

Berbicara mengenai karier lakonannya, Noorkhiriah berkata, dia masih aktif dan baru selesai menjalani penggambaran telefilem Qaseh Tanpa Suara di Langkawi, Kedah.

"Selepas 16 tahun aktif dalam bidang seni terutama lakonan, kini saya akui agak bersikap memilih perihal watak dan juga mengambil kira soal bayaran.

"Jika watak dilakonkan sesuai dan bayaran daripada produksi juga menarik, saya sedia terima kerana sudah tiba masa untuk berbuat demikian," jelasnya.

Menurut Noorkhiriah lagi sebagai pelakon berpengalaman, dia sudah tidak boleh menerima tawaran sebarangan tanpa mengambil kira kesesuaian watak dan bayaran diterima.

Katanya dia perlu bersikap memilih kerana didorong minat mendalam pada lakonan serta enggan lagi terikat dengan watak biasa pernah dilakonkan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:01 AM