SEORANG kanak-kanak lelaki memandang ke arah  rumahnya yang musnah akibat perang saudara yang tercetus di Yaman sejak dua tahun lalu.
SEORANG kanak-kanak lelaki memandang ke arah rumahnya yang musnah akibat perang saudara yang tercetus di Yaman sejak dua tahun lalu.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kira-kira 370,000 kanak-kanak di Yaman berdepan ancaman maut berikutan krisis kekurangan makanan berkhasiat selepas perang saudara tercetus dua tahun lalu.

Selain itu, lebih daripada 3.2 juta rakyat negara itu hilang tempat tinggal dan berdepan kekurangan makanan paling serius pernah direkodkan sejak sedekad lalu.

Itu angka dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sejak tercetusnya konflik di negara itu.

Prihatin terhadap nasib mereka, Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) melaksanakan misi kemanusiaan ke Yaman pada Rabu ini serta menyalurkan bantuan kepada rakyat negara itu.

Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, kira-kira 10,000 rakyat negara itu dilaporkan terbunuh, 19 juta putus bekalan air bersih dan hampir 15 juta rakyat gagal dirawat dengan betul.

“Paling menyedihkan, lebih 1.8 juta kanak-kanak diancam pelbagai wabak termasuk kekurangan nutrisi dan peperangan.

“Atas keprihatinan berkenaan, kami melaksanakan kempen bantuan untuk Yaman ini dengan slogan #Peace4Yemen,” katanya, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, kempen ini turut disertai beberapa artis terkenal tanah air antaranya Afdlin Shauki, Heliza Helmi, Hafiz Hamidun, Salima Habibi, Adam Corrie dan beberapa lagi artis lain.

Beliau turut memohon orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).

“Keadaan di negara itu begitu mendesak dengan pelbagai masalah terutama kekurangan makanan bernutrisi yang melanda kebanyakannya kanak-kanak.

“Jika kita lihat masalah beberapa negara konflik antaranya Syria, Palestin dan isu Rohingya, keadaan sama berlaku kepada penduduk di Yaman, malah lebih membimbangkan apabila isu ini kurang dilaporkan,” katanya.

Katanya, kebanyakan laporan media mahupun bantuan lebih terarah kepada masalah di Syria serta Palestin, namun konflik di Yaman kurang mendapat perhatian.

Mengulas keadaan di Yaman, Zulkifli berkata, keadaan di negara itu amat teruk dan perkara paling dibimbangi adalah kanak-kanak.

Berdasarkan laporan WHO dan UNICEF menyatakan rakyat di Yaman berdepan krisis kemanusiaan paling buruk pernah direkodkan apabila kekurangan bekalan makanan berkhasiat dan bantuan perubatan.

Pada 6 Oktober tahun lalu, pihak berkuasa kesihatan negara itu mengesahkan berlaku penularan wabak taun, sekali gus meletakkan tahap kesihatan penduduk dalam bahaya terutama kanak-kanak.

Lebih RM720 juta diperlukan UNICEF untuk penyediaan bantuan asas perubatan, pendidikan dan perlindungan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 6:49 AM