Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Sebanyak RM1 juta hasil potongan gaji pegawai dan anggota polis akan disumbangkan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini sebanyak 1,422 keluarga anggota polis terbabit dalam bencana banjir.

Menurutnya, mereka bukan saja terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara tetapi juga turut kerugian harta benda akibat banjir yang merosakan pelbagai kelengkapan dan peralatan peribadi masing-masing.

"Saya percaya masih ramai lagi pegawai atau anggota polis yang terbabit dalam bencana banjir ini belum memaklumkan kepada pihak pengurusan.

"Kita percaya wang yang dikumpulkan setakat ini tidak mencukupi. Kita akan menggunakan tabung kebajikan PDRM untuk menambah bantuan,"katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Water Jet Pump kepada mangsa banjir warga PDRM, di Redland Aviation Hangar, Lapangan Terbang Subang, petang ini.

Menurutnya, PDRM mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada anggota yang terjejas akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 2:54 PM