ABD Latiff (tengah), menyaksikan Anita (kanan), menyerahkan plak sumbangan kepada AMINURRAHIM ketika Program Penyerahan Bantuan Bencana Peringkat Nasional PETRONAS. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ABD Latiff (tengah), menyaksikan Anita (kanan), menyerahkan plak sumbangan kepada AMINURRAHIM ketika Program Penyerahan Bantuan Bencana Peringkat Nasional PETRONAS. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Amir Abd Hamid


Bangi: Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), hari ini, menyumbangkan aset dan logistik kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) khususnya jangkaan bencana banjir.

Pengurus Besar Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina A Aziz berkata, bagi menghadapi MTL kali ini sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan dan antara sumbangan diberikan ialah 36 bot aluminium berserta enjin, 8,800 Collapsible Tent, 5,500 jaket keselamatan serta 55,000 baju hujan.

Beliau berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan sumbangan bernilai RM25 juta sejak Disember 2021 hingga Disember 2022.

"Petronas berbesar hati menyumbangkan beberapa aset dan logistik bagi kegunaan APM selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah ketika pengoperasian serta persediaan menghadapi MTL.

"Sebolehnya dengan bantuan ini operasi bantuan secepat mungkin sampai ke penerimanya.

"Saya percaya kolaborasi strategik bersama agensi-agensi terbabit sama ada peringkat negeri atau nasional, meminimumkan impak bencana kepada mangsa, sebelum, semasa dan selepas bencana," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Sumbangan Petronas Peringkat Kebangsaan dengan Kerjasama APM, di sini, hari ini.

Simbolik sumbangan disampaikan Anita Azrina kepada Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Sementara itu Abdul Latiff berkata, beliau menghargai Petronas yang memberikan komitmen membantu persediaan bencana banjir.

"Kami di peringkat responden merasakan komitmen Petronas ini melegakan dan membantu menambah aset yang sudah sedia ada.

"Tahun ini di peringkat APM kita baru saja melantik MRO (pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) untuk enjin dan bot.

"Dengan adanya penyelenggaraan yang berskala, saya yakin peralatan ini apabila kita seragamkan dengan bomba, polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan APM berserta dengan komitmen NGO terutama yang tempatan akan membantu memantapkan tahap kesiapsiagaan sewaktu kita berhadapan MTL dijangka pada November hingga Mac tahun depan," katanya.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) iaitu sekretariat bencana peringkat pusat sedang dalam proses penambahbaikan ekoran daripada peristiwa banjir 15 hingga 18 Disember lalu

"Nadma kalau kita tengok kekuatannya adalah seperti piramid terbalik. Nadma tiada kekuatan di peringkat negeri dan daerah.

"Peringkat daerah, pengerusi bencananya adalah Pegawai Daerah, setiausahanya ikut Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara adalah APM berserta dengan responden yang relevan.

"Tetapi biasanya ketua responden di daerah adalah antara bomba atau pun polis jadi rantaian arahan kepada responden sama ada bomba atau polis, ini dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, Pegawai Daerah yang sudah lama (bertugas di sesuatu daerah) biasanya tidak berhadapan masalah mengendalikan situasi banjir terutama daerah yang biasa mengalami banjir umpamanya di negeri pantai timur.

"Tetapi seperti di Selangor tahun lalu, pertukaran Pegawai Daerah berlaku waktu banjir itu.

"Pada waktu yang sama pengalaman mengurus banjir dalam kehadiran penduduk yang padat, ini memerlukan kepintaran dan juga kepimpinan.

"Jadi apabila tak pernah mengalami itu, itu yang jadi kelam kabut dalam masa 24 jam. Rantaian arahan itu bercelaru," katanya.

Justeru Dr Latiff berkata bagi mengatasinya, pelbagai kursus di peringkat hotspot diadakan membabitkan lebih 80,000 responden di seluruh negara.

Ditanya kemungkinan bebanan berganda anggota responden sekiranya serentak banjir dan PRU-15, katanya, yang diutamakan adalah pengurusan mengendalikan bencana.

"Kita utamakan banjir. Bencana sebelum ini pun dua bencana dalam satu sewaktu pandemik Covid-19 dan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 12:49 PM