FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lima bot di setiap ibu pejabat polis daerah (IPD) seluruh negara sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

Perancangan itu disuarakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Hazani Ghazali susulan kejadian banjir yang melanda baru-baru ini, memandangkan bencana itu tidak lagi hanya tertumpu di Pantai Timur Semenanjung.

Menurutnya, ia antara usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan keupayaan fasiliti keselamatan sedia ada.

"Kita merancang menambah lima bot di semua 157 IPD seluruh negara. Penambahan aset itu adalah sebagai tindak pantas jika berlakunya bencana banjir.

"Kita akan panjangkan (cadangan pemerolehan) kepada pihak kerajaan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini sebanyak 1,580 aset PDRM termasuk bot, lori, ambulans, kenderaan pacuan empat roda, bas dan van sudah digerakkan ke tujuh negeri yang dilanda banjir.

Katanya, persediaan sudah dilakukan sejak Oktober lalu dengan fokus diberikan di kawasan dilanda Monsun Timur Laut iaitu di Pantai Timur Semenanjung, sebahagian Johor dan pantai timur Sabah.

"PDRM dipertanggungjawabkan mengetuai penugasan tindak balas bencana di dalam jawatankuasa pasukan petugas khas operasi dan pasca bencana yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

"Penugasan meliputi tiga fasa iaitu pra bencana, semasa dan pasca. KDNKA menggerakkan seluruh elemennya bagi membantu mangsa pasca banjir termasuk Unit Komando 69, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Tindakan Khas (UTK) dan Polis Marin.

"Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membantu mangsa banjir, membersihkan kediaman, rumah ibadat dan mengagihkan bantuan yang disalurkan pelbagai pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:17 PM