Oleh Muhammad Apendy Issahak

 

 

Ipoh: Warga polis Kontinjen Perak yang terjejas akibat bencana banjir besar baru-baru ini, menjadi kumpulan pertama menerima bantuan wang tunai hasil daripada potongan gaji pegawai serta anggota polis.

 

Seramai 21 orang terdiri daripada pegawai, anggota dan kakitangan awam di kontinjen ini menerima bantuan sebanyak RM500 hingga RM1,500 yang disampaikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

 

Mohamad Fuzi berkata, bantuan terbabit adalah hasil daripada potongan gaji warga PDRM seluruh Malaysia, selain Tabung Kebajikan PDRM yang jumlah keseluruhannya sebanyak RM1.5 juta.

 

"Kontinjen Perak menjadi negeri pertama diagihkan bantuan wang tunai ini bagi meringankan beban pegawai, anggota dan kakitangan awam yang berkhidmad di beberapa daerah di sini yang terjejas banjir.

 

"Bantuan ini juga akan diagihkan di Kontinjen Pahang esok oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zubaidah Md Ismail, manakala di Kelantan pula pada Khamis ini oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan sementara itu di Terengganu akan disampaikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohamad Salleh, namun masih belum dipastikan tarikhnya," katanya.

 

Menurutnya, selain daripada bantuan wang tunai warga PDRM yang terkesan dengan bencana banjir di negeri Perak, Kelantan dan Terengganu juga diberikan bantuan pakaian sekolah termasuk beg dan kasut hasil sumbangan dari Yayasan al-Bukhari bernilai RM100,000, manakala Pahang tidak diberikan bantuan sama kerana kerajaan negeri sudah berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 11:56 AM