Ibrahim Isa


Johor Bahru: Polis menahan dua guru wanita bagi membantu siasatan kes dera seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan kini tiga orang.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kedua-dua guru wanita berusia 23 dan 34 tahun ditahan di sekitar Skudai bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001 dan meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Sehingga kini, tiga individu ditahan bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun hingga melecur tahap dua pada punggungnya.

Pada jam 2.30 petang semalam, seorang kakitangan lelaki pusat tuisyen berusia 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan sebelum dua guru berkenaan ditahan.

Kakak kanak-kanak itu dalam sidang media di sini, semalam, mendakwa punggung adik lelakinya itu ditekap dengan kuali dan cawan panas yang direndam dalam air mendidih, kononnya kerana nakal dan enggan membuat kerja sekolah oleh guru tuisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 4:53 PM