GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Dua wanita yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan penderaan dua kanak-kanak di Air Itam, di sini, semalam dikenakan reman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 28 dan 52 tahun itu direman sehingga 31 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua wanita itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 31 Mei dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai penahanan dua suspek di sebuah flat di Air Itam, di sini, kerana disyaki mendera dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun.

Wanita warga tempatan itu masing-masing adalah ibu dan nenek saudara kepada kanak-kanak berkenaan.

Penahanan dilakukan selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh seorang lelaki tempatan mengenai satu hantaran di laman Facebook memaparkan foto dua kanak-kanak sedang makan di restoran dengan kesan kecederaan di bahagian muka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan:

  • Hantaran FB bongkar dua kanak-kanak jadi mangsa dera
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 12:32 PM