KEADAAN kanak-kanak yang cedera di seluruh badan disyaki dipukul guru tuisyen.
KEADAAN kanak-kanak yang cedera di seluruh badan disyaki dipukul guru tuisyen.
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seorang guru wanita sebuah pusat tuisyen di Gajah Behrang, di sini, disyaki memukul anak muridnya yang berumur lapan tahun hingga meninggalkan kesan lebam pada beberapa bahagian badan mangsa dipercayai kerana berang mangsa gagal menyiapkan kerja rumah, jam 2 petang, 13 April lalu.

Menurut sumber, mangsa dihantar ke pusat tuisyen terbabit oleh datuknya.

“Bagaimanapun, datuk mangsa berasa ada tidak kena selepas menemui kesan lebam pada kaki, tangan dan badan cucunya selepas mangsa pulang daripada kelas tuisyen.

“Berikutan itu, datuk mangsa terus membawanya ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum membuat laporan polis berhubung kecederaan terbabit, Rabu lalu,” katanya, semalam.

Menurut sumber, susulan laporan dibuat, anggota polis pergi ke pusat tuisyen terbabit jam 10.30 malam kelmarin, sebelum menahan guru wanita berusia 37 tahun itu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat datuk kanak-kanak terbabit berkaitan kejadian berkenaan.

“Guru wanita itu ditahan semalam (kelmarin) sebelum dibebaskan hari ini (semalam) dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 11:18 AM