Miami, AS: Pilihan kedua Rory McIlroy (gambar) terkeluar daripada persaingan pada Kejohanan Match Play-WGC semalam selepas pencabar dalam kumpulan Gary Woodland menarik diri dan Soren Kjeldsen menang kali kedua berturut-turut.

Kjeldsen dari Denmark, yang menghuni ranking ke-62 dunia, mengalahkan pemain Argentina, Emiliano Grillo 4 dan 3 untuk menamatkan harapan McIlroy sehari selepas kemenangan mengejut ke atas pemenang empat kejuaraan utama dari Ireland Utara itu.

Situasi itu tercetus selepas Woodland memberikan kemenangan percuma kepada McIlroy kerana alasan peribadi, membantunya mencatat kemenangan namun ia juga memberikan Kjeldsen kemenangan percuma bagi perlawanan berikutnya.

Pemain Denmark itu akan layak ke peringkat kalah mati 16 terakhir hari ini selepas berakhir 3-0 dalam kumpulan itu manakala terbaik yang mampu dilakukan McIlroy adalah 2-1 jika dia menumpaskan Grillo.

Grillo bermula dengan birdie-par untuk menang dua lubang pertama menentang Kjeldsen dalam cuaca berangin namun pemain Denmark itu bangkit dengan dua birdie dalam empat lubang berikutnya untuk menyamakan kedudukan. Kjeldsen menang empat lubang pertama di sembilan lubamng kedua, menang lubang ke-10 dan 12 dengan birdie, dan sekalipun bogey lubang ke-14, menamatkan aksi itu dengan tolakan putt dari jarak enam kaki di lubang ke-15.

Kjeldsen menyatakan dia mahu menghabiskan masa terluang bersama anak-anaknya berikutan penarikan diri Woodland.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 11:10 AM