Keadaan treler yang terjatuh dari lebuh raya ke atas jalan raya di Alor Gajah, Melaka, hari ini. - Foto NORIZZAH BAHARUDIN
Keadaan treler yang terjatuh dari lebuh raya ke atas jalan raya di Alor Gajah, Melaka, hari ini. - Foto NORIZZAH BAHARUDIN
Norizzah Baharudin


Alor Gajah: Sebuah treler membawa kontena tanpa muatan terbabas dan terjatuh dari jejambat di Kilometer 207.1 Lebuhraya Utara-Selatan PLUS, arah utara, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, pemandunya Mohd Irkhana Zulkifli, 30, cedera tangan kanan, dipercayai terkena serpihan kaca dan hentakan ketika treler terbabit jatuh dari jejambat.

Difahamkan, treler itu dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Klang (Selangor) apabila ia hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang lebuh raya dan jatuh ke bawah jejambat dekat Jalan Lesung Batu, di sini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, PBK II Selomon Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.46 petang dan bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa sudah keluar dari kenderaan dibantu orang awam dan mengalami kecederaan di tangan kanan sebelum dihantar ke Hospital Melaka dengan ambulans.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 8:08 PM