KEADAAN kereta mangsa yang hampir terjatuh.
KEADAAN kereta mangsa yang hampir terjatuh.

Klang: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas dan hampir terjatuh dari jejambat di Jambatan Simpang Lima, Persiaran Raja Muda Musa di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa berusia 30-an dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum merempuh besi penghadang jalan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asistan Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian berlaku ketika hujan dan jalan licin.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Palm Grove di sini. Dia cuba memperlahankan kenderaannya ketika melalui lokasi kejadian namun gagal.

“Mangsa sempat menekan brek ketika mengambil selekoh di jejambat berkenaan. Bagaimanapun, kenderaannya tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh penghadang besi di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kenderaan MPV itu berpusing beberapa kali dan menghentam penghadang jalan menyebabkan strukturnya tercabut dan jatuh ke bawah jejambat.

“Besi penghadang yang jatuh itu mengenai sebuah lagi kereta yang berada di bawah jejambat mengakibatkan kerosakan teruk.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kedua-dua pemandu kenderaan itu selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 10:40 AM