Agensi

Garut, Indonesia: Seorang wanita tergamak mengheret ibunya sendiri yang berusia 83 tahun ke mahkamah semata-mata mahu menuntut hutang mencecah Rp1.8 bilion (RM598,076).

Akhbar Radar Garut melaporkan, Siti Rokayah yang mempunyai 13 anak disaman anak kesembilan, Yani Suryani dan menantunya sendiri.

Kes berkenaan kini dibicarakan di sebuah mahkamah di daerah Garut.

Seorang anak Siti, Eep
Rusdiana memberitahu, semuanya bermula apabila seorang abangnya, Asep Ruhendi meminjam wang daripada suami Yani pada 2001.

“Ketika meminjam wang itu Asep turut mencagarkan geran tanah dan rumah milik ibu kepada abang ipar saya.

“Selepas 16 tahun, sebahagian hutang itu masih belum dibayar dan Yani serta suaminya kini membuat tuntutan di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, sebelum memfailkan saman, Yani memaksa ibunya menandatangani surat akuan yang menyatakan dia berhutang dengan anaknya itu.

“Dalam saman berkenaan, Yani dan suaminya menuntut hak milik rumah ibu selain beberapa bayaran ganti rugi lain yang semuanya berjumlah Rp1.8 bilion,” jelasnya.

Sementara itu, Siti ketika ditemui wartawan portal Detik.com sangat sedih kerana Yani sanggup mengheretnya ke mahkamah.

“Saya sangat berharap masalah ini dapat diselesaikan secara kekeluargaan dan saya tidak sangka Yani sanggup bertindak sebegini.

“Dalam usia sebegini saya hanya mahu hidup tenang disamping anak-anak,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2017 @ 11:38 AM