AGUS (dua dari kiri) bersama Yudhi memberitahu wartawan bagaimana mereka menipu wang mangsa kononnya untuk digandakan. - Detiknews.com
AGUS (dua dari kiri) bersama Yudhi memberitahu wartawan bagaimana mereka menipu wang mangsa kononnya untuk digandakan. - Detiknews.com
Agensi

Bandung: Polis Indonesia menahan seorang bomoh yang mendakwa boleh menggandakan wang selepas beberapa mangsa mendakwa ditipu lelaki berkenaan.

Agus Sadikin atau dikenali sebagai Agus Domba, 41, ditahan di kediamannya di daerah Garut, Jawa Barat bersama seorang pembantunya, Yudhi Permana.

Jurucakap polis Jawa Barat, Diki Budiman berkata, bomoh itu aktif sejak 2014 dengan menipu orang ramai bahawa dia mampu menggandakan wang mereka.

“Sehingga kini 21 mangsa membuat laporan polis mendakwa ditipu selepas menyerahkan wang kepada dukun itu.

“Semua mangsa berasal dari daerah Sumatera dan Jawa Barat yang membabitkan kerugian mencecah berbilion-bilion rupiah,” katanya yang dipetik Detiknews.com.

Ujarnya, seorang mangsa mendakwa dia menyerahkan wang tunai secara berperingkat berjumlah Rp5 bilion (RM1.67 juta) kepada dukun itu sejak 2014.

“Suspek mendakwa dia mampu menggandakan wang itu menjadi berlipat kali ganda tetapi selama dua tahun mangsa tidak menerima kembali wangnya,” ujarnya.

Polis juga percaya lebih ramai lagi yang menjadi mangsa dukun berkenaan tetapi mereka enggan tampil membuat aduan kerana malu dan takut.

Sementara itu, Agus memberitahu wartawan, kebanyakan mangsa terlalu percaya dia mampu menggandakan wang sehingga sanggup menyerahkan wang mereka kepadanya.

“Selama ini semua yang datang berjumpa percaya saya mampu menggandakan wang mereka.

“Sekiranya ada yang bertanyakan mengenai wang mereka, saya akan memberikan pelbagai alasan untuk melengahkan mereka.

“Untuk membuatkan mereka lebih percaya saya memberikan barangan hikmat yang kononnya mampu menambahkan wang mereka,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:15 AM