KJELDSEN (kiri) bersama Olesen ceria bersama trofi dimenangi mereka.
KJELDSEN (kiri) bersama Olesen ceria bersama trofi dimenangi mereka.

Melbourne: Soren Kjeldsen dan Thorbjorn Olesen bermain tenang dan mencatat enam bawah par 66 pada pusingan akhir format fourballs untuk membolehkan Denmark merangkul kejuaraan sulung Piala Dunia Golf menerusi kemenangan empat pukulan di Kingston Heath, semalam.

Denmark memulakan saingan hari terakhir dengan kelebihan empat pukulan dan tujuh birdie, termasuk satu di lubang terakhir apabila Olesen melencongkan bola masuk dari jarak 20 kaki, dibantu dengan bogey tunggal sudah cukup buat mereka menang dengan 20 bawah par keseluruhan pada edisi ke-58 kejohanan itu.

“Amat sukar untuk menggambarkan perasaan saya,” kata Kjeldsen, sebelum menjulang Trofi Hopkins.

“Kami hadir minggu ini dengan prestasi baik dan berganding dengan amat baik. Persahabatan juga dibina dan saya fikir itulah kemuncak Piala Dunia Golf.”

Gandingan Perancis, Victor Dubuisson dan Romain Langasque mengetuai kumpulan pengejar dengan sembilan birdie 63 untuk berkongsi tangga kedua dengan 16 bawah par di samping pasukan China diwakili Wu Anshun dan Li Haotong (65) dan Amerika Syarikat yang terdiri daripada Rickie Fowler dan Jimmy Walker (66).

Pada satu lagi hari dengan catatan rendah, pasangan Sweden Alex Noren dan David Lingmerth mengungguli lapangan berpasir itu dengan 62 namun hanya mampu menduduki tangga kelima dengan 15 bawah par, satu pukulan di depan Itali (64) dan Jepun (65).

Tuan rumah Australia, yang mempertahankan kejuaraan dimenangi Adam Scott dan Jason Day di Royal Melbourne pada 2013, berkongsi tangga kesembilan dengan 11 bawah par selepas Scott dan Marc Leishman berganding bagi catatan 65 pada pusingan akhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 12:33 PM